Iktiraf kerajaan Afghanistan: Malaysia tidak akan tergesa-gesa – Saifuddin

 Iktiraf kerajaan Afghanistan: Malaysia tidak akan tergesa-gesa – Saifuddin

(Gambar Fail) Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Malaysia tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pengiktirafan terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan.

Memetik laporan Awani, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia bagaimanapun masih mengikuti rapat apa yang sedang dan akan berlaku lantaran perkembangan di negara itu begitu dinamik.

“Buat masa ini kita masih melihat keadaan semasa, sebelum kita buat pendirian rasmi kerajaan Malaysia kerana dari sehari ke sehari kita menerima pelbagai maklumat daripada pelbagai pihak.

“Jadi kita mengambil pendekatan yang tidak tergesa-gesa dalam hal ini. Jadi, buat masa ini itulah suasana, keadaan kita,” katanya pada sidang media di Wisma Putra pada Rabu.

Berhubung dakwaan dua rakyat Malaysia yang ditahan di negara bergolak itu, Saifuddin berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Pihak PDRM masih menunggu laporan sahih tentang dua orang yang dilaporkan sebagai rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, memang ada dua orang lagi rakyat Malaysia yang ada di sana (Afghanistan) atas sukarela mereka sendiri kerana mereka berkhidmat dengan dua buah organisasi kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan krisis di Myanmar yang masih berpanjangan, Saifuddin berkata peranan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar, Erywan Yusof amat diharapkan mampu mencapai penyelesaian yang sewajarnya di negara itu.

“Kami yakin Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar mampu melaksanakan peranannya. Saya akan bertemu dengan beliau (Erywan Yusof) secepat yang mungkin.

“Seperti saya katakan sebelum ini, ia merupakan kesinambungan atas apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein (bekas Menteri Luar).

“Kami berharap supaya keputusan positif dapat diraih hasil rundingan itu. Terdapat lima perkara yang kini dibincangkan. Saya fikir ASEAN secara keseluruhan mampu mencapai objektif dengan pelantikan utusan khas tersebut,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

87  +    =  95