• Sunday, 20 June 2021, 2:24 pm

Ikan hiasan Malaysia kukuh kedudukan di pasaran dunia

 Ikan hiasan Malaysia kukuh kedudukan di pasaran dunia

Laporan Pertama

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Jabatan Perikanan melihat ikan hiasan berpotensi  dikembangkan kepada skala komersial yang lebih besar untuk pasaran tempatan dan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa.

“Malaysia juga adalah di antara negara utama pengeksport ikan hiasan dunia. Antara pasaran utama eksport ikan hiasan Malaysia ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Iran,” Ketua Pengarahnya, Ahmad Tarmidzi Ramly kepada Wacana.my.

Beliau berkata, penternakan ikan hiasan di Malaysia telah lama menjadi satu industri yang menyumbang kepada eksport negara. Penternakan ikan hiasan bertumpu di Johor dan Perak dengan ternakan utama dari spesies seperti arowana, koi dan emas.

Turut diternak ialah spesies ikan tropika seperti ‘gourami, barb, molly, guppy, discus, betta’ dan sebagainya. Namun begitu, negeri lain juga menyumbang kepada pengeluaran ikan hiasan Malaysia.

Berikut adalah nilai pengeluaran ikan hiasan di Semenanjung:

TAHUN PENGELUARAN (EKOR) NILAI (RM)
2019 286,874,990.00 502,704,288.33
2020 227,525,191.00 492,293,104.06

 

Mengenai status ikan betta (ikan pelaga) di pasaran tempatan dan eksport, Ahmad Tarmidzi berkata, spesies itu adalah ikan hiasan yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan di pasaran tempatan dan negara serantau.

“Betta moden dan asli sememangnya terkenal di rantau Asia Tenggara. Banyak pertandingan dalam dan luar negara diadakan oleh penganjur di negara Asean terutamanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Melalui siri pertandingan seperti ini, lebih banyak tarikan dan peminat menyertai industri ini,” katanya.

Statistik nilai pengeluaran ikan hiasan betta adalah seperti berikut:

TAHUN PENGELUARAN EKOR) NILAI  (RM)
2019 4,423,257.00 17,115,091.24
2020 5,023,287.00 16,399,809.40

 

Mengenai unjuran pihak tertentu yang menyebut pasaran domestik dan eksport betta menjelang 2030 mampu mencecah RM1 bilion, beliau berkata, kenyataan tersebut adalah tidak tepat.

Malahan unjuran bagi komoditi ikan hiasan Malaysia menjelang 2030 adalah sebanyak 366,588,000 ekor dengan nilai sebanyak RM366,588,000.

Bagaimanapun pihaknya mengakui industri betta sedang mengalami peningkatan dan semakin berkembang pada masa ini susulan penghasilan variati baharu yang menarik.

Ini hasil komitmen dan inisiatif penternak tempatan yang sentiasa meningkatkan mutu penghasilan baka untuk bersaing dengan Thailand dan Indonesia yang sememangnya terkenal dengan penghasilan ternakan ikan betta.

(Sambungan esok – Jabatan Perikanan tumpu pembangunan industri dan usahawan betta).

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *