Ije, wanita supit hitam bersihkan gunung

 Ije, wanita supit hitam bersihkan gunung

Oleh Mohammad Ishak

JERTIH, 13 Feb: Jika anda berkunjung beberapa pusat pelancongan di daerah Besut dan ternampak kelibat seorang wanita muda bersama beberapa rakan mengutip sampah, jangan beranggapan yang bukan-bukan terhadap mereka.

Sebaliknya, penampilan wanita dengan supit hitam (beg plastik hitam) untuk sampah yang ditinggalkan orang ramai terutama pelancong yang beriadah di pusat rekreasi sekitar daerah Besut, menarik perhatian pengunjung.

Apa yang dilakukan adalah secara sukarela walaupun terpaksa berkorban masa meninggalkan anak dan keluarga setiap hujung minggu semata-mata kerana komitmen serta cintakan kebersihan alam sekitar.

Azmaizan Arshad, 35, dari Kampung Pak Damalik, Alur Lintah, dekat ini menjadikan hujung minggu atau cuti umum sebagai rutin dengan mengunjungi pusat pelancongan sekitar daerah ini untuk membersihkan kawasan tersebut.

Bagi Azmaizan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Ije’ sanggup melakukan kerja seumpama itu kerana ia sebahagian daripada aktiviti sosial. Beliau tidak berseorangan melakukan aktiviti amal itu kerana ada 10 wanita dan remaja lain yang menyertai ‘Geng Supit Hitam’ itu.

Kumpulan itu diwujudkan ditubuhkan pada 2016 di mana beliau sebagai pengasas. Kini ia mempunyai 30 ahli mewakili remaja lelaki dan perempuan.

Mereka menjalankan aktiviti di pusat pelancongan Bukit Keluang, Pulau Rhu dan Gunung Tebu serta Gunung Sarut di Setiu yang sering menjadi tumpuan pelancongan dari dalam dan luar negeri terutama pada hujung minggu atau cuti umum.

“Saya tidak malu untuk mengutip sampah, sebaliknya menganggap ia satu tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ada 10 wanita lain menyertai kumpulan itu, tetapi hanya beliau yang paling aktif turun padang sama ada mendaki gunung, bukit dan meredah laut untuk menjalankan aktiviti amal berkenaan.

“Saya gembira kerana suami amat memahami kegiatan ini dan memberi semangat untuk meneruskan kerja sukarela itu bersama ahli kumpulan lain,” katanya.

Kata Ije, mereka melakukan kerja secara sukarela itu tanpa mendapat imbuhan daripada sesiapa namun jika ada pihak yang bermurah hati ingin membantu menyediakan peralatan yang diperlukan termasuk supit hitam, adalah dialu-alukan,” katanya.

Ije (dua) dari kiri bersama Geng Supit Hitam di puncak Gunung Tebu, Besut

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  2