Ibu tunggal tak mampu ke hospital

 Ibu tunggal tak mampu ke hospital

Mohd Khairul menyuapkan makanan untuk ibunya yang lumpuh

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 5 Feb: Serangan angin ahmar dua bulan lalu merubah sepenuhnya kehidupan seorang ibu tunggal.

Puan Norhayati Ismail, 47, dari Kampung Tanjung, Renggam dekat sini kini hanya menghabiskan masa dengan baring dan duduk di atas katil.

Semua keperluan diuruskan anak keduanya, Mohd. Khairul Fadzli, 24, yang tidak bekerja dan memberi tumpuan menjaga beliau sepenuh masa.

Bekas pekerja kilang itu juga tinggal dua lagi anak lelakinya berusia 19 dan 28 tahun. Suaminya meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.

Anak sulung dan bongsunya bekerja kilang namun pendapatan mereka tidak cukup menampung keperluan perubatannya termasuk membeli lampin pakai buang.

Untuk menjalani rawatan susulan di hospital juga sukar kerana yang ada hanya motorsikal.

“Jarak rumah kami ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) kira-kira 20 kilometer dan kami tidak mampu menghantarnya kerana tiada kereta,” kata Khairul.

Apa yang beliau mampu lakukan ialah membelikan ubat yang termampu setiap hujung bulan.

Kesempitan Norhayati dan keluarganya mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Golongan B40 Negeri Johor yang menyumbang lampin pakai buang.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Fadel Alwi berkata, pihaknya akan memanjangkan masalah dihadapi wanita itu kepada pihak berkaitan, khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang.

Sesiapa yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun BSN Norhayati Ismail bernombor 0110829000111149.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  8  =  1