Ibu bapa mahu kerajaan sediakan kemudahan PdPR

 Ibu bapa mahu kerajaan sediakan kemudahan PdPR

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula pada hari pertama persekolahan Rabu lalu dilihat sebagai beban kepada pelajar dan ibu bapa.

Kebanyakan ibu bapa berkata, mereka dibebani kos menyediakan keperluan asas PdPR iaitu telefon pintar atau komputer riba dan capaian internet. Seorang bapa, Azeem Azaruddin, 43, berkata walaupun memahami PdPR adalah sesuatu yang dilakukan masa kini, beliau berharap kerajaan mengambil bebanan yang ditanggung ibu bapa.

Azeem Azaruddin, 43

“Saya bekerja sebegai pembantu produksi filem. Selama ini belanja keperluan keluarga banyak ditampung dengan gaji saya, namun kini saya tidak lagi dibenarkan bekerja kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu,” katanya. Susulan itu, Azeem berkata beliau menghadapi masalah menyediakan keperluan untuk PdPR anak-anaknya seramai tiga orang.

“Tiga orang anak saya bersekolah sekarang, bagaimana saya hendak sediakan telefon pintar atau komputer riba untuk mereka,” katanya.

Azeem berpendapat, jika kerajaan mahu mengubah sistem pendidikan kepada sistem PdPR, kerajaan juga harus mempertimbangkan kaedah yang membolehkan keluarga membeli peralatan yang diperlukan.

“Kami nak makan pun susah. Sekarang kami terpaksa pilih mahu belanja barang dapur atau untuk persekolahan anak, kasihanilah,” katanya. Selain itu, Azeem berkata bukan semua pelajar mampu mengikuti sistem PdPR bukan kerana tidak ada peralatan tetapi cara pembelajaran itu tidak sesuai. “Saya yang memantau kelas bersama anak juga kadang kala keliru, tak dapat bayangkan murid sekolah rendah yang tiada tempat rujukan,” katanya.

Sementara itu, Suriani Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Yani berkata terdapat kebaikan dan keburukan dalam sistem PdPR yang dilaksanakan. Sebagai ibu, Cikgu Yani memahami keresahan dan masalah yang dihadapi ibu bapa masa kini. “Mereka tidak biasa dengan sistem sekarang, dan lebih selesa sistem pembelajaran yang lama di mana mereka serahkan tugas mendidik anak-anak kepada guru. Ibu bapa hanya menunggu laporan hasil pendidikan itu sahaja,” katanya.

Tambah Cikgu Yani, sistem pendidikan yang lama walaupun dilihat memanjakan pelajar, ia telah lama dipraktikkan dan sukar untuk diubah kepada sistem baru tanpa persediaan rapi.

“Mungkin sistem PdPR boleh ditambahbaik dengan sokongan pembelajaran melalui kaedah lain seperti saluran TV Pendidikan, modul bercetak atau sesi pembelajaran bersemuka yang kecil seperti study group,” tambahnya.

Namun begitu, Cikgu Yani berpendapat ada ibu bapa yang mencari jalan alternatif seperti pembelajaran secara kendiri.

“Mereka lebih berdikari dan kerap berbincang dengan guru mengenai kaedah terbaik untuk memastikan anak mereka tidak ketinggalan tanpa memerlukan kos yang besar atau pemantauan oleh mereka,” katanya.

Cikgu Yani bersetuju kaedah pembelajaran melalui sistem PdPR akan melatih pelajar menjadi lebih berdikari dalam mencari ilmu dan ia tidak akan menyisihkan mana-mana pelajar yang tidak ada kemudahan canggih. “Sistem berubah selaras dengan peredaran teknologi untuk kita maju, sebagai guru saya mahu lihat anak murid saya berjaya walau dengan apa cara sekali pun.

“Saya akui untuk mengubah dari sistem lama kepada sistem baharu agak sukar kerana ada rakyat kita belum bersedia ditambah lagi dengan kemerosotan ekonomi masa kini,” katanya.

Apapun yang menjadi kerisauan ibu bapa, Cikgu Yani mahu mereka lebih bijak dalam menangani isu begini. “Semua pihak mahupun kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan guru-guru ataupun ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan untuk itu kita harus bekerjasama dan hentikan menunding jari mencari kesalahan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  3  =