Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Ibu bapa kirim ketupat palas, doakan anak di perantauan

Wan Norazizan membeli ketupat untuk juadah keluarga sempena Aidilfitri, esok
Oleh Suraya Ali
KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Tiga puluh ketul sahaja, itulah jumlah ketupat palas yang dibeli penjawat awam, Wan Norazizan Wan Ismail, 52, untuk juadah keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri, esok.
Wan Norazizan berkata, anaknya tidak dapat pulang ke kampung kerana bertugas di barisan hadapan memerangi COVID-19 di Kota Bharu, Kelantan.
“Saya ada mengirimkan sedikit makanan untuk anak. Walaupun suasana tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini, kami anggap ini pengorbanan keluarga kami untuk negara,” katanya.

Wan Norazizan turut menasihati orang ramai untuk menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing serta mengasihani petugas barisan hadapan yang bekerja tidak kira masa demi kebaikkan semua.
Sementara itu, warga emas Musa Awang Yahya, 74, dari Kampung Tok Jiring sedih kerana lima orang anaknya tidak dapat pulang berhari raya.
“Sudah lama Pakcik tak berjumpa mereka. Tapi asalkan mereka sihat dan selamat Pakcik bersyukur,” katanya yang tinggal bersama dua lagi anak yang tidak berhijrah.
Menurut Musa, lazimnya anak-anak yang tinggal di Putrajaya dan Klang, Selangor akan menyediakan persiapan Hari Raya.
“Biasanya pakcik, makcik dengan anak-anak yang kerja di sini hanya buat kuih sedikit kerana anak-anak lain akan pulang dan membeli barangan keperluan. Tahun ini pakcik terpaksa beli sendiri sikit-sikit sahaja,” katanya sebak.
Tambah Musa, beliau mahu anak-anaknya dan anak perantau yang lain kenal dirinya dan keluarga serta warga kampung lain di sini berada dalam keadaan selamat.
“Bekalan makanan mencukupi, kami juga sihat. Tidak ada apa hendak dirisaukan, kita patuh sahaja perintah Kerajaan. Panjang umur kita jumpa lagi, jika tidak doakan kami nanti,” katanya.
Pakcik Musa antara ribuan warga emas yang tidak dapat berhari raya bersama anak-anak yang merantau untuk bekerja dan belajar.
Kebanyakkan mereka di sini meneruskan sambutan Aidilfitri secara sederhana dan bersyukur.
Semoga wabak COVID-19 ini berlalu pergi dan kita mampu meneruskan kehidupan di dalam norma baru dan bertemu dengan keluarga yang dicintai.