Ibu bapa di Perlis reda anak-anak tak dapat pulang beraya

 Ibu bapa di Perlis reda anak-anak tak dapat pulang beraya

KANGAR, 7 Mei — Kesedihan tidak dapat beraya bersama anak-anak bukan satu perkara besar bagi kebanyakan ibu bapa di negeri ini, namun apa yang lebih menggusarkan mereka adalah risiko jangkitan wabak COVID-19 jika semua orang dibenarkan rentas negeri bersempena cuti Aidilfitri.

Rata-rata mereka gusar kepulangan anak mereka nanti  akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan virus tersebut kepada orang lain terutama warga emas dan kumpulan berisiko lain.

Suri rumah Lebar Jaafar, 71, dari Beseri berkata beliau reda anak-anak tidak dapat pulang beraya pada tahun ini daripada mereka menjadi penyebab kepada penyebaran wabak berkenaan ke negeri ini.

“Atas hakikat inilah, mak cik sanggup tidak mahu melihat anak menantu dan cucu-cucu mak cik pulang berhari raya di kampung kalau kepulangan mereka membawa virus penyakit yang berbahaya itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ibu kepada dua anak lelaki dan perempuan yang bekerja di Kuala Lumpur itu berkata beliau akur dan maklum bahawa tempat tinggal anaknya itu berisiko dan mempunyai bilangan kes positif COVID-19 yang tinggi.

Berkongsi pendapat sama Idrus Md Jasin, 73, berkata beliau tidak rasa terkilan malah memahami bahawa anak dan cucunya yang berada di Selangor tidak dapat beraya di kampung sejak Aidilfitiri 2020, kerana akur dengan ketetapan kerajaan melarang rentas negeri bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Pak cik harap anak pak cik juga faham hakikat tersebut dan kekal tinggal di rumah, apatah lagi negeri Selangor telah sekian lama mencatat jumlah kes harian COVID-19 tertinggi,” ujarnya.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia semalam, Selangor mencatat kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 1,137 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 477 kes daripada keseluruhan 3,551 kes baharu semalam.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  −    =  48