Ibu, anak ditahan jual air ketum

 Ibu, anak ditahan jual air ketum

Ibu dan anak yang ditahan polis kerana menjual air ketum di dalam serbuan semalam

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 30 Jun – Tindakan seorang ibu dan anak menjual air ketum memakan diri apabila ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di kawasan setinggan Kampung Melayu Pandan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam serbuan jam 2 petang itu, sebanyak 450 bungkus air ketum yang disimpan dalam tiga tong ais dan satu plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 23 kilogram dirampas.

Dalam serbuan itu, polis menahan kedua-dua suspek berusia 20 dan 38 tahun.

“Nilai keseluruhan rampasan air ketum sebanyak 564 liter, 23 kg daun ketum serta perkakasan memproses air ketum itu ialah RM6,980. Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui penglibatan ibu dan anak ini dalam kegiatan menjual air ketum.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati suspek wanita itu mempunyai lima kesalahan lampau kes narkotik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan yang dibuat oleh bahagian Siasatan Jenayah Narkotik JBS itu turut merampas dua periuk besar, sebuah tong gas dan dapur gas dipercayai peralatan bagi memproses air ketum.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30930 Akta Racun 1952.

Jika disabit kesalahan, suspek boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh terus menghubungi talian hotline JBS 07-2182323,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7