Ibadat puasa latihan berkesan bentuk budaya

 Ibadat puasa latihan berkesan bentuk budaya
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

BAGI orang yang biasa berpuasa, tentulah puasa dengan menahan nafsu ini tidaklah terasa amat payah dan berat. Itulah hikmat puasa iaitu untuk melatih diri supaya mempunyai adat dan budaya hidup yang tertentu.

Nafsu tamak haloba, menabur fitnah dan mengumpat orang, kalau telah menjadi kebiasaan, tentulah amat susah untuk di tinggalkan. Demikian juga segala sifat buruk yang telah menjadi tabiat seseorang, memang akan menjadi kebiasaan, dan tidak terasa bahawa hal-hal itu adalah merupakan satu tabiat buruk bagi manusia ini.

Oleh itu, puasa adalah satu didikan rohani dan jasmani untuk dibiasakan sehingga menjadi budaya dan peraturan hidup yang mudah sekali diamalkan.

Membentuk budaya berdisiplin, mengurus waktu dengan baik, menjaga perbualan dan pertuturan, malah menjaga hati dari buruk sangka dan berperasaan negatif semata-mata dalam hidup ini, adalah satu tabiat manusia yang tidak dapat diperbaiki tanpa latihan yang praktikal.

Hal ini menjadi bertambah kuat dan kukuh lagi apabila manusia itu mempraktikannya berpandukan ajaran agama dan menyedari akan keimanannya kepada Allah Yang Maha Esa.

Kita amatlah memerlukan tabiat dan budaya serta disiplin hidup ini dalam masyarakat kita sekarang. Ketika kita berada dalam krisis moral dan kerohanian, kegawatan mental dan hati. Dan, ketika banyak sekali teknologi moden seperti ICT yang mengajar kita menjadi individu yang ego, sombong diri dan serba tahu, mengatasi segala ajaran agama sendiri.

Oleh itu, hal ini adalah satu kaedah bagi mendidik generasi muda kita, supaya bangsa kita benar-benar menjadi bangsa yang kukuh dengan nilai-nilai moral dan spiritualnya. Generasi muda yang menjaga akhlak dan budi bicara serta tingkah laku yang baik dan ideal, seperti yang mungkin banyak terdapat di dalam masyarakat Timur dan Barat. Di kalangan bangsa dan negara maju, walau pun mereka tidak mempunyai agama seindah agama kita, tetapi mereka telah membentuk budaya hidup yang positif, beretika dan berpandukan disiplin hidup yang baik.

Tahun demi tahun kita memasuki bulan Ramadan dan melalui asuhan serta pendidikan disiplin ini. Tetapi kesannya tidak sangat menjadi tabiat serta budaya hidup kita orang Islam. Malah di dalam bulan puasa inilah berlakunya tabiat buruk, seperti pergaduhan, pertumpahan darah, peperangan dan sebagainya yang dapat kita saksikan di dalam beberapa negara Islam sendiri.

Kita memerlukan satu metodologi yang berbeza untuk mendidik generasi baharu kita supaya meninggalkan gejala buruk umat kita itu. Dan, puasa adalah satu cara yang baik untuk dibangunkan kepelbagaian modul pendidikan yang berkesan, yang seharusnya dikaji serta dipraktiskan oleh umat kita.

Ingatlah peringatan yang telah dijelaskan sendiri oleh Baginda Rasulullah SAW bahawa terdapat orang yang berpuasa di dalam bulan Ramadhan ini yang tidak mendapat pengajaran yang baik, sebaliknya hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

 

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  79  =  81