i-Breath peranti ujian COVID-19 baharu berada dalam pasaran tahun depan

 i-Breath peranti ujian COVID-19 baharu berada dalam pasaran tahun depan

Dr Adham Baba (kanan) mendengar penerangan ketua projek, pensyarah kanan UTM, Prof Madya Dr. Malarvili Bala Krishnan berkenaan prototaip i-Breath yang dibangunkan.

KOTA TINGGI – Kementerian Sains, Teknologi dan Invovasi (MOSTI) memperuntukkan dana lebih RM1.05 juta untuk membangunkan peranti mudah alih saringan dan pemantauan COVID-19 yang dikenali i-Breath.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, i-Breath merupakan alat dibangunkan dengan teknologi termaju dan  akan digunakan di tempat yang penting untuk mendapat keputusan pantas sehingga 20 saat bagi mengesan COVID-19.

“Kaedah ini dalam peringkat prototaip sekarang dalam proses klinikal dan kita tunggu enam bulan untuk ia disahkan. 

“Dana yang diberikan kepada akademia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan dapat digunakan bagi bangunkan satu kaedah menguji kehadiran COVID-19 dengan pantas melalui i-Breath.

“Selepas enam bulan nanti, prototaip ini diuji oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan universiti berkaitan kita akan dapat hasilkan satu produk bertaraf antarabangsa,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Parlimen Tenggara dan Showcase Prototaip Peranti i-Breath di Pusat Perkhidmatan dan Transit Pelancongan Batu Ampat, Kota Tinggi hari ini.

Dr. Adham berkata, ia merupakan satu kejayaan baru dalam kaedah ujian COVID-19 selain kaedah Polymerase Chain Reaction (PCR) atau ujian pantas (RTK) antigen yang digunakan pada masa ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, kajian klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya menunjukkan sensitiviti peranti i-Breath sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih i-Breath dan keputusan akan dijana hanya dalam masa 20 saat. 

“Kita jangkakan i-Breath ini dapat dipasarkan pada tahun depan 2022. Sekarang kita berada dalam peringkat klinikal trial bulan April atau Mei tahun depan kalau dapat keputusan baik dan diperakui kita boleh teruskan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *