• Monday, 21 June 2021, 3:14 am

Hukum ambil vaksin COVID-19 harus – Datuk Dr Zulkifli

 Hukum ambil vaksin COVID-19 harus – Datuk Dr Zulkifli

Oleh Iqhram Ahmad

 

GERAKAN anti-vaksin yang digembar-gemburkan menerusi media sosial menyebabkan ada kalangan rakyat Malaysia enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19. Senario ini pasti bertentangan dengan matlamat mewujudkan imunisasi berkelompok dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di negara menerima vaksin yang secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk.

Tindakan sewenangnya pihak tidak bertanggungjawab itu akan menyebabkan mereka yang taksub dengan teori mereka, terdedah kepada jangkitan pandemik itu yang kemungkinan boleh meragut nyawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum penggunaan vaksin adalah harus dan ianya wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

“Hukum ini dibuat berdasarkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-10 yang bersidang pada Disember lalu.

“Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukan sesuatu yang baharu dalam perspektif syarak. Kaedah pencegahan melalui vaksinasi dapat dibuktikan melalui penggunaannya untuk mencegah penyakit seperti Hepatisis A dan B, polio serta tibi,” katanya menerusi kenyataan rasmi.

Beliau menambah, institusi fatwa dunia turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin. Antaranya institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif yang dipengerusikan oleh Syeikh al-Azhar, Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; dan Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.

“Keputusan ini dibuat setelah menimbang faktor-faktor yang pelbagai serta mendapatkan pandangan pihak pakar dan juga berautoriti,” katanya.

 

Bagaimana pula hukum PKP dan SOP?

Sementara itu, menurut Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) adalah berdosa kerana tidak mematuhi arahan pemerintah bagi membendung penularan COVID-19.

“Orang ramai wajib mengikut arahan pemerintah (ulul amri) kerana dalam agama Islam sendiri sudah memberi panduan mengenai menjaga kemaslahatan umat.

“Jangan anggap apabila kita melanggar peraturan ini, kita hanya melanggar undang-undang negara. Sebaliknya pelanggaran perintah itu juga sebenarnya adalah satu kesalahan dalam agama, jadi mereka perlu kembali ke pangkal jalan.

“Berdosa sekiranya kita tidak mematuhi arahan PKP yang dibuat demi kesejahteraan ummah. Justeru, saya berharap semua pihak patuh serta mengelak daripada mengingkari sebarang arahan pihak berkaitan dalam menangani COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu”. (An-Nisa: 59).

Berdasarkan ayat di atas, seruan ketaatan kepada pemimpin adalah selepas ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Bermakna, ketaatan ini sangat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan negara agar menjadi Baldatan tayyibatan wa rabbun Ghafur (Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT).

Dalam suasana negara menghadapi dugaan pandemik maut ini, sewajarnya seluruh masyarakat patuh kepada arahan PKP kerana arahan itu datang daripada pemimpin untuk kebaikan semua.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *