HUKM jayakan program vaksinasi luar bandar

 HUKM jayakan program vaksinasi luar bandar

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberikan vaksin kepada penduduk Pulau Pasir Hitam, Perak. Foto — Facebook

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM menganjurkan program perkhidmatan jangkau luar (“outreach”) vaksinasi COVID-19 di Pulau Pasir Hitam, Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau berkesempatan menyertai program tersebut semalam dan membantu memberi vaksin kepada penduduk setempat.

” Program ini adalah hasil kerjasama pihak HCTM UKM, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, KKM,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut beliau, bantuan juga diberikan oleh Pejabat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Pejabat Daerah Larut, Matang & Selama, pihak berkuasa tempatan, PDRM dan lain-lain agensi.

” Penduduk pulau ini majoritinya bekerja sebagai nelayan dengan populasi berjumlah 80 orang.

” Tiada liputan internet di pulau ini dan rata-rata penduduk adalah warga emas.

“Akses ke pulau ini adalah terhad melalui jalan laut di mana perjalanan dengan bot mengambil masa lebih kurang 40 minit dari Jeti Pengkalan Sungai Kerang, Trong,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, melalui program tersebut, pasukan petugas kesihatan dan sukarelawan telah berjaya memberi dos pertama vaksin COVID-19 kepada 32 orang penduduk pulau ini.

” Walaupun jumlah ini kecil, tetapi usaha ini amat penting bagi melengkapi capaian vaksinasi golongan yang memerlukan dan di kawasan terpinggir,” katanya.

Program “outreach” ke Pulau Pasir Hitam ini adalah lanjutan daripada program PPVB HCTM di Daerah Larut, Matang & Selama.

Dr Noor Hisham berkata PPVB ini juga telah selesai memberikan 8124 dos vaksin COVID-19 dalam tempoh 10 hari di Dewan Kamunting, Taiping dan melalui lawatan rumah ke rumah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapatkan akses kepada vaksinasi COVID-19.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  82  =  92