Hotel Istana Kuala Lumpur tutup operasi

 Hotel Istana Kuala Lumpur tutup operasi

KUALA LUMPUR 01 JULAI 2021. Hotel Istana Kuala Lumpur terpaksa menghentikan operasinya pada 1 September ini selepas hampir 30 tahun beroperasi. WMY/SUPIAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Pandemik COVID-19 yang sudah setahun lebih melanda negara sekali lagi meragut salah satu mercu tanda negara apabila Hotel Istana Kuala Lumpur terpaksa menghentikan operasinya pada 1 September ini selepas hampir 30 tahun beroperasi.

Pengurus Besarnya, Noorazzudin Omar menerusi kenyataan rasmi berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan situasi semasa COVID-19 di negara ini.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan penutupan ini. Situasi sekarang semakin parah akibat pandemik COVID-19 yang terus mempengaruhi industri ini dan kemampuan kami untuk beroperasi secara normal.

“Ini telah mempengaruhi perniagaan, harga, pulangan serta penghunian kami walaupun ada usaha terbaik daripada kami. Walaupun sebagai hotel kuarantin, kami mengalami kerugian operasi bulanan,” katanya.

Tambah beliau, persaingan daripada hotel baharu dan pangsapuri perkhidmatan turut memainkan peranan kepada penutupan hotel berkenaan.

Dimiliki oleh salah satu pemilik dan pengendali hotel terbesar, Tradewinds Corp Berhad, hotel bertaraf 5 bintang serta dilengkapi 486 bilik di Jalan Raja Chulan itu telah beroperasi selama lebih kurang tiga dekad.

Selain Hotel Istana Kuala Lumpur, Hotel Mutiara Johor Bahru juga telah menghentikan operasinya dua bulan lalu akibat wabak COVID-19 yang melumpuhkan sektor pelancongan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  2  =  1