Hobi hias beca dengan Jalur Gemilang, bangkit kenangan silam

 Hobi hias beca dengan Jalur Gemilang, bangkit kenangan silam

Sazali bersama beca miliknya yang dihiaskan dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Negara ke-64.

PEKAN, 18 Ogos — Pelbagai cara ditampilkan rakyat untuk menyatakan kecintaan kepada negara dan bagi pemilik beca Sazali Yussoff, 61, semestinya dia memilik menghias kenderaan miliknya itu dengan menggunakan Jalur Gemilang.

Bermodalkan RM50, dia menghias beca miliknya dengan kreativitinya sendiri dengan lebih 20 Jalur Gemilang pelbagai saiz.

Katanya, sejak 2019 dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menghias beca miliknya dan menjadi rutin wajib menjelang sambutan Hari Kemerdekaan sehingga mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melihatnya ketika becanya itu menyusuri jalan di sekitar bandar Pekan.

“Pada Hari Kebangsaan tahun lalu saya dan beberapa rakan yang memiliki basikal klasik menyertai program berkayuh melalui beberapa laluan utama di bandar Pekan termasuk mengelilingi kampung.

“Selain ingin memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan aktiviti berkenaan turut bertujuan untuk memperkenalkan beca dan basikal klasik kepada generasi muda yang mungkin sudah lupa dengan kenderaan itu,” katanya, di sini semalam.

Dia yang memiliki empat beca berkata, walaupun beca miliknya berusia lebih 50 tahun namun masih boleh digunakan, setiap minggu dia mengayuh  beca ke Pasar Besar Pekan untuk membeli barangan dapur.

Sazali berkata, dia membeli beca dengan harga antara RM1,500 hingga RM2,000. Beca yang digunakan membawa penumpang dibeli di Pulau Pinang tiga tahun lalu dengan perbelanjaan keseluruhan RM3,500.

Menurutnya, dia mengumpul beca sebagai hobi yang dapat mengamit kenangan zaman kegemilangan kenderaan beroda dua itu, semakin hari semakin sukar untuk melihat pengangkutan terbabit di negeri ini.

“Sebelum ini beca begitu terkenal di bandar Pekan dan Kuantan digunakan sebagai pengangkutan utama oleh masyarakat setempat namun hari ini kenderaan berkenaan boleh dikatakan pupus.

“Justeru sebagai warga emas yang pernah menggunakan perkhidmatan beca suatu ketika dahulu, saya dan beberapa rakan berusaha untuk mempopularkan semula beca dan basikal klasik.

“Saya berharap usaha yang akan saya dan rakan-rakan lakukan mendapat sokongan pihak berkaitan, tanpa usaha bersama itu tidak mustahil suatu hari nanti generasi akan datang tidak mengenali beca,” katanya yang menetap di Kampung Padang Manggis, di sini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  −  43  =