Hilang sejak pagi, rupa-rupanya lemas

 Hilang sejak pagi, rupa-rupanya lemas

Anggota bomba menemukan mayat seorang lelaki di dasar Sungai Tebrau berhampiran jambatan di Jalan Desa Mutiara, Johor Bahru malam tadi

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Kehilangan seorang lelaki sejak pagi semalam terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam Sungai Tebrau berdekatan sebuah jambatan di Jalan Desa Mutiara di sini, malam tadi.

Mayat S Parthiban, 28, ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba dalam Sungai Tebrau pada jam 11.24 malam pada jarak 20 meter dari tempat dia dikatakan mandi seorang diri sebelum itu.

Difahamkan pada mulanya lelaki itu bersama-sama dua rakannya duduk di bawah jambatan tersebut dan tidak lama selepas itu, kedua-dua rakannya pulang dan mangsa mula mandi sendirian di situ.

Beberapa lelaki yang memancing dan menjala di bawah jambatan tersebut
melihat mangsa mandi di kawasan tersebut.

Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Pegawai Bomba Shamsul Khomari Bakar, apabila mangsa yang keluar rumah sejak jam 10 pagi tidak pulang, keluarganya mula risau.

“Ahli keluarganya bertanya kepada seorang pemancing yang kebetulan dari kawasan perumahan yang sama dan dimaklumkan semasa dia pulang ke rumah mangsa masih mandi di bawah jambatan.

“Keluarga mangsa bimbang kerana mangsa mengidap penyakit sawan dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato’ Onn sebelum 12 anggota dari BBP Tebrau dan BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati baju, selipar dan motosikal mangsa masih berada di tebing sungai.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) di sungai itu pada kedalaman 4 meter dibantu dua jentera dan dua utiliti.

“Kita membuat pencarian di sekitar kawasan sungai dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ dan mayat mangsa ditemukan di dasar sungai tersebut.

Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk bedah siasat dan operasi tamat jam 3.17 pagi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

42  −  39  =