Hikmah Ramadan ketika pandemik COVID-19

 Hikmah Ramadan ketika pandemik COVID-19

Oleh YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

WABAK COVID-19 sudah memasuki setahun penularannya. Umat Islam sekali lagi akan melalui Ramadan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimana kita melalui Ramadan pertengahan bulan ini dengan cara yang tetap memenuhi syarak?

Memasuki Ramadan dan Syawal, umat Islam di negara ini diseru supaya terus istiqamah beribadah terutamanya dalam menghadapi ujian wabak COVID-19 yang membataskan sambutan Ramadan dan Aidilfitri berbanding kelaziman sebelum ini. Masyarakat perlu akur dengan situasi sekarang. Patuhi  arahan kerajaan terutamanya dalam SOP ketika sambutan Ramdahan dan Aidilfitri kerana ia merupakan langkah pencegahan bagi membendung penularan COVID-19.

Ramadan adalah bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya. Antara ganjaran yang Allah SWT janjikan di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan malam Lailatul Qadar.

Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita mendidik diri kita ke arah kebaikan kerana pada bulan ini kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan kita dituntut untuk memperbanyakan amalan-amalan sunat.

Antara pengisian Ramadan dan amalan-amalan sunat yang dianjurkan untuk dilakukan sepanjang Ramadan ialah bertadarus al-Quran, menunaikan solat tarawih, menghidupkan malam dengan amalan yang disyariatkan termasuk qiamullail, berzikir, berselawat, beriktikaf terutama pada 10 malam terakhir, memperbanyakan sedekah, memberi makanan kepada orang yang berpuasa, bersederhana dalam berbelanja dan makan minum, menjaga pancaindera dari melakukan maksiat.

Kehadiran Syawal pula memberi ruang kepada umat Islam menzahirkan kegembiraan selepas berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada Ramadan dan kegembiraan menyambut lebaran adalah nikmat yang cukup besar.

Dalam suasana kegembiraan itu, Islam menekankan umatnya supaya tidak melupakan AllahSWT. Apabila tibanya Syawal, umat Islam dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat antaranya bertakbir pada malam Aidilfitri bagi memeriahkan suasana, melaungkan takbir juga bertujuan mengingati Allah dengan ungkapan takbir, tasbih dan tahmid.

Perkara pertama dilakukan pada pagi hari raya ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai tanda syukur atas kurniaan nikmat Allah, puasa enam hari dalam bulan Syawal, memperbanyakan doa kepada yang telah meninggal dunia dengan memohon keampunan untuk mereka sebagai alternatif kerana tidak dapat menziarahi kubur, dan seterusnya meningkatkan amal ibadah serta istiqamah beribadah seperti yang dilakukan dalam bulan Ramadan.

Apakah amalan-amalan yang mudah dilaksanakan di rumah sepanjang Ramadan ini?

Terdapat pelbagai amalan yang boleh dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi suasasana sambutan Ramadan di kediaman kita. Oleh kerana PKP, maka kebanyakan ahli keluarga akan berada di bawah satu bumbung 24 jam sehari. Hal ini harus dimanfaatkan oleh setiap ahli keluarga. Malah tumpuan dan peranan ibu bapa akan lebih terhadap menjaga ahli keluarganya sendiri berbanding orang lain.

Maka ketika Ramadan seharusnya digunakan sebaiknya untuk membina keluarga Muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan lebih baik, bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah. Selain menunaikan ibadah wajib seperti berpuasa dan solat fardu, kita mendirikan secara berjemaah solat fardu, solat sunat tarawih, berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga, qiamullail, tadarus al-quran, , berzikir, berselawat dan sebagainya.

Ketua keluarga atau anak lelaki akan memainkan peranan sebagai imam yang mana akan mengimami solat bersama keluarga. Amalan berpuasa Ramadan ketika pandemik COVID-19 sememangnya berbeza namun, jika dilihat dari sisi positif, banyak membantu umat Islam dalam pelbagai perkara.

Mereka dapat menumpukan lebih perhatian kepada erti sebenar Ramadan, mengurangkan pembaziran makanan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan. PKP dilihat sebagai satu cara beruzlah (mengasingkan diri) secara fizikal bukan sahaja daripada wabak COVID-19 tetapi juga daripada masalah sosial masyarakat yang lain. Semoga nilai-nilai baik yang diterapkan dalam kehidupan seharian sepanjang bulan mulia ini berterusan sehingga kita bertemu pada Ramadan berikutnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

78  −    =  73