Hentikan ‘politiking’, fokus pemulihan ekonomi

 Hentikan ‘politiking’, fokus pemulihan ekonomi

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Semua pihak diminta menghentikan ‘politiking’ kerana mengganggu usaha kerajaan mengurus krisis nasional khususnya menamatkan penularan pandemik COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi negara.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berharap isu COVID-19, politik dan perpaduan dapat ditangani segera untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Tan Sri Lee Lam Thye

“Saya juga ingin tegaskan supaya kita semua yang berada dalam keadaan sukar ini untuk berhenti segera bermain politik dan memberi fokus sepenuhnya kepada langkah-langkah untuk menghadapi cabaran dan kesusahan rakyat agar rakyat sentiasa terbela,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencapaian dan suasana sempena setahun Pakatan Nasional (PN) menerajui kerajaan hari ini.

Lam Thye mengakui Perdana Menteri sememangnya tidak dapat mengelakkan diri daripada menghadapi krisis politik setiap hari tetapi ini harus diselesaikan segera kerana ia melibatkan impak besar terhadap ekonomi negara.

Menurutnya, Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika negara berada pada waktu yang sukar bukan sahaja masalah penularan COVID-19 tetapi tetapi juga terpaksa menghadapi krisis politik yang tidak menentu serta kelembapan ekonomi.

“Bahkan permulaan menjadi Perdana Menteri turut menyaksikan rakyat mula berhadapan kesengsaraan dan kesusahan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19. Pelbagai cabaran yang harus dihadapi oleh beliau sepanjang memulakan tugasnya sejak tahun lalu.

“Sememangnya tidak dapat dinafikan, bahawa Perdana Menteri memainkan peranan yang baik walaupun ada aspek yang kurang memuaskan dan perlu ditambah baik,”  katanya.

Beliau menambah, dalam usaha menangani COVID-19, Muhyiddin memperkenalkan banyak inisiatif seperti PENJANA, PERMAI dan beberapa bentuk bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Nasional serta Bantuan Prihatin Rakyat.

“Usaha membawa masuk vaksin dan inisiatif lain untuk mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan awam dilihat sebagai langkah yang sedikit sebanyak membantu menghadapi krisis pandemik ini,” katanya.

Mengenai perpaduan, Lam Thye memuji pengenalan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara yang sememangnya satu perkara yang patut diberi keutamaan dan diangkat sebagai agenda nasional oleh semua.

“Perpaduan adalah kunci kejayaan negara, justeru kerajaan pada masa hadapan perlu memberi perhatian berat terhadap perpaduan nasional,” katanya.

Prof Dr Sivamurugan Pandian

Sementara itu, mengulas perkara sama, Prof Dr Sivamurugan Pandian, dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia berkata, pencapaian Muhyiddin dalam tempoh setahun menerajui PN ialah mengurus pandemik COVID-19 dengan baik.

Belajar menerusi pengalaman, komitmen semua pihak dan kesungguhan mencari jalan mengekang virus itu telah meletakkan kadar kematian akibatnya Malaysia di antara yang terendah di dunia iaitu di bawah 0.4 peratus dan lebih 90 peratus yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya.

“Kerajaan juga telah berjaya meningkatkan tahap kesihatan awam apabila melancarkan Pelan Imunisasi COVID-10 Kebangsaan dengan menyasarkan 80 peratus penduduk negara ini menerima suntikan vaksin  itu secara percuma,” katanya.

Pencapaian ketiga ialah pakej ekonomi prihatin yang didapati berjaya membantu ramai komuniti perniagaa, perusahaan dan rakyat yang terkesan akibat pandemik itu.

“Pada masa sama, perlu hentikan politiking supaya kita segera kembali pulih dan boleh menikmati kehidupan lebih baik. Politik emosi untuk mempengaruhi persepsi dgn informasi mengelirukan tidak menguntungkan sesapa kecuali menganggu usaha mengurus krisis nasional negara,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  3