Hentikan mainan politik, tarik semula pelabur

 Hentikan mainan politik, tarik semula pelabur

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Pandemik COVID-19 yang melanda satu dunia bukan sahaja membawa bilangan kematian yang mencecah hampir 4 juta kematian, malah menjejaskan pelbagai sektor ekonomi terutamanya pada tahun-tahun pertama.

Namun, kebanyakan negara sudah pun menyesuaikan diri dengan pandemik ini dan berjaya meyakinkan semula pelabur-pelabur luar untuk menjayakan ekonomi negara, tidak seperti Malaysia yang masih lagi sukar untuk meyakinkan pelabur.

Menurut Pensyarah Kanan di USIM Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza, situasi ini berlaku kerana terlampau banyak permainan politik yang berlaku di negara ini sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik.

“Politik yang tidak stabil akan menyebabkan pertukaran polisi perdagangan setiap kali bertukar kerajaan sekali gus memberikan kerisauan kepada pelabur luar.

“Pandemik ini masalah dunia tetapi negara lain masih mampu menarik pelabur-pelabur luar kerana mempunyai kestabilan politik, contohnya Indonesia,” katanya pada rancangan temu bual Pentas Wacana di Facebook, Jumaat lalu.

Beliau turut berkata bahawa ekonomi dan kesihatan rakyat adalah amat penting bagi sesebuah negara dan ianya perlu diseimbangkan kerajaan supaya semua orang dapat melangsungkan kehidupan mereka.

“Kedua-dua aspek ini adalah penting bagi sebuah negara jadi ianya perlu seimbang. Lockdown seperti yang berlaku di Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 3.0 menunjukkan bahawa kesihatan lebih penting.

“Manakala PKP 2.0 pula dibuat semasa kes harian mula menurun dan juga bagi menjalankan semula ekonomi,” katanya.

Sementara itu, panelis kedua Datuk Dr Muhammad Hussin berkata terlampau banyak politicking hanya akan melambatkan proses penyelesaian masalah pandemik lain seperti ekonomi dan perniagaan.

Beliau yang juga Pensyarah Pusat Kajian Inovasi Pembelajaran & Pengajaran Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyeru agar ahli politik menyelesaikan masalah pandemik terlebih dahulu, kemudian selesaikan masalah politik.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha kerajaan dalam memerangi pandemik ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selain mempunyai sistem yang teratur dan perlaksanaan keputusan yang berpusat.

“PICK dapat dijalankan segera kerana Malaysia mempunyai sistem serta infrastruktur perubatan kelas dunia sekali gus selain tidak bergantung pada satu vaksin sahaja.

“Selain itu, sistem keputusan kerajaan yang berpusat dan teratur yang melibatkan kementerian serta agensi lain harus diberikan pujian,” katanya.

Tambah Muhammad Hussin, inisiatif kerajaan dalam mempelbagaikan cara pemberian vaksin harus diberi pujian dengan penambahan pusat PPV yang disertai hospital-hospital swasta selain pengenalan PPV bergerak dan vaksin drive-thru.

Setelah setahun pandemik COVID-19 melanda dunia, wabak ini telah meragut hampir 4 juta nyawa di seluruh dunia selain merobohkan sistem kesihatan dan ekonomi pelbagai negara. Namun, dengan usaha bersepadu di antara kerajaan dan rakyat yang menjaga SOP dan mendapatkan vaksin, Malaysia boleh menang peperangan ini.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  3  =  1