Hentikan amalan sistem tawaran kerja kontrak di Malaysia – MTUC

 Hentikan amalan sistem tawaran kerja kontrak di Malaysia – MTUC

KUALA LUMPUR, 27 Jul — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menghentikan amalan sistem tawaran kerja berlandaskan kontrak kepada penjawat awam mahu pun pekerja swasta di negara ini, terutama membabitkan sektor keselamatan dan kesihatan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya sudah sekian lama konsisten dengan pendirian membantah sistem kerja berlandaskan kontrak dengan satu acara piket besar-besaran pernah dianjurkan MTUC pada 3 November 2011 bagi membantah sistem berkenaan.

Jelas beliau, MTUC menegaskan dengan beberapa pindaan Akta Kerja 1955 termasuk pengenalan sistem kontrak, kedudukan pekerja menjadi tidak tetap, tiada jaminan pekerjaan selain mendapatkan kadar gaji sama tanpa kenaikan atau bonus, termasuk faedah lain.

“MTUC memandang serius tentang kemudaratan bakal dihadapi oleh warga pekerja sekiranya sistem kontrak ini terus diperluaskan dan diamalkan oleh pihak majikan.

“Polisi pengambilan pekerja secara kontrak ini akan melahirkan budaya takut dalam kalangan pekerja-pekerja kontrak itu sendiri.

“Justeru, adalah dikhuatiri sekiranya mereka melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh majikan contohnya bergiat cergas di dalam Kesatuan Sekerja, mereka akan mengalami risiko tidak disambungkan kontrak perkhidmatannya.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada gerakan pekerja dan boleh dianggap sebagai tindakan yang bersifat anti-kesatuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kamarul Baharin

Beliau berkata demikian bagi mengulas gerakan hartal doktor kontrak yang diadakan di seluruh negara pada pagi Isnin.

Pada pukul 11 pagi semalam, ribuan doktor kontrak di seluruh negara melakukan bantahan secara aman mendesak kerajaan menyerap semua petugas kesihatan kontrak menjadi penjawat awam tetap.

Susulan itu, Wacana.my difahamkan terdapat sebilangan doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang yang diberikan surat tunjuk sebab oleh pengurusan hospital susulan menyertai gerakan hartal semalam.

Berikutan itu, Kamarul Baharin menegaskan kakitangan awam yang terlibat dalam sektor keselamatan dan kesihatan tidak perlu ditawarkan kerja secara kontrak kerana perkhidmatan itu adalah perlu dan akan kekal wujud.

“Kaedah pengambilan pekerja secara kontrak yang diamalkan oleh kerajaan telah menjadi satu rujukan kepada sektor swasta untuk mengguna pakai sistem kontrak ini.

“Ini suatu perkara yang tidak sihat kerana tidak memberi jaminan pekerjaan dan masa hadapan kepada kakitangan yang terlibat,” katanya.

Kamarul Bahrin menegaskan MTUC turut mengesyorkan perbincangan berkenaan Pindaan Akta-Akta Perburuhan utama seperti Akta Kerja 1955 dibuka semula untuk perbincangan memandangkan Parlimen sudah kembali bersidang.

Jelas beliau, pindaan akta berkenaan termasuknya keperluan sistem kontrak ini dipinda bagi menghadkan jangka masa perkhidmatan seseorang pekerja diberi status kontrak serta hak mereka untuk diserapkan ke status tetap.

“Penekanan berkenaan soal kesaksamaan dari segi faedah-faedah yang diterima oleh pekerja tanpa mengikut status jawatan juga perlu diadakan. Tindakan mahkamah terhadap majikan adalah wajib dilaksanakan jika terdapatnya syarikat yang melanggar undang-undang tersebut. Tindakan ini adalah bertujuan bagi melindungi hak-hak pekerja kontrak khususnya pekerja yang tidak boleh diwakili oleh kesatuan.

“Ini memandangkan pengambilan pekerja kontrak kini bukan hanya tertumpu pada jawatan bukan eksekutif sahaja malahan ia turut berlaku di peringkat pengurusan dan eksekutif,” katanya.

Mohd Abrar KA

abrar@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  3  =