Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti – Hamzah

 Helikopter, bot lama PDRM perlu diganti – Hamzah

Hamzah (kiri) diberikan taklimat oleh Bahrin Noh berkaitan keadaan terkini banjir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Segamat, hari ini.

SEGAMAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berbincang untuk menggantikan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk helikopter dan bot lama kerana sudah tidak sesuai dengan keadaan masa kini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, aset baharu itu amat diperlukan terutama bagi menghadapi bencana seperti banjir yang berlaku pada setiap tahun.

Jelas beliau, perkara itu disedari ketika pasukan keselamatan berkenaan turun melakukan operasi membantu sepanjang bencana itu.

Katanya, situasi tersebut memberi pengajaran kepada pihaknya untuk menggantikannya apatah lagi helikopter PDRM telah berusia 25 tahun yang tidak dilengkapi teknologi terkini.

“Aset lama seperti helikopter sebagai contoh adalah aset yang kita rasa bahaya bila ada ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak mempunyai kelengkapan yang boleh bersedia dalam keadaan banjir atau bencana seperti ini.

“Banyak aset PDRM bila dalam keadaan nak membantu ini baru kita sedar. Contohnya, bot yang kita guna selama ini telah lama kita perolehi.

“Jadi, saya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha kementerian untuk kita mencari bot yang lebih sesuai dalam keadaan banjir pada masa akan datang,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini.

Hamzah turut melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar sebelum mendengar sesi taklimat berkaitan keadaan terkini bencana itu di sini yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat, Superintenden Bahrin Noh.

Dalam pada itu, Hamzah mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air sehingga paras 2.5 meter dalam bencana banjir baru-baru ini.

“Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan. 

“Walaupun kita sudah reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011, namun kita perlu melihat keperluan menghadapi bencana ini pada masa akan datang,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

24  −    =  21