Hasrat petik rambutan berakhir tragedi

 Hasrat petik rambutan berakhir tragedi

Bumbung yang pecah menyebabkan mangsa terjatuh dan maut di tempat kejadian di sebuah kilang di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang pekerja Nepal maut terjatuh dari bumbung sebuah kilang pembuatan ketika cuba memetik buah rambutan di Jalan Johor, di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Johor, Husdin Che Mat berkata, dalam kejadian pukul 10.15 pagi Sabtu lalu, mangsa yang berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Susulan maklumat yang diterima, JKKP Negeri Johor telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke lokasi dan hasil siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja stor bersama-sama rakan sekerjanya ditugaskan ke gudang untuk mengambil sampel produk.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai naik ke atas bumbung secara berseorangan untuk memetik buah rambutan dengan menggunakan tangga mudah alih aluminium. Ketika berjalan di atas bumbung, kepingan bumbung lutsinar tersebut terkopak dan pecah menyebabkan mangsa terjatuh pada ketinggian 30 kaki.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah ditemui terlentang di atas lantai. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Husdin berkata, lokasi kejadian disita oleh pihaknya hingga siasatan lengkap dijalankan dan mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan siasatan dalaman dan melantik pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan juga diarahkan untuk mengemukakan surat tunjuk sebab atas kegagalan melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Majikan perlu memastikan tempat kerja yang di bawah kawalannya berada dalam keadaan selamat untuk pekerja dan orang lain yang berkenaan yang menjadi kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =