Hasni ajak media jadi rakan strategik kerajaan Johor

 Hasni ajak media jadi rakan strategik kerajaan Johor

Duduk dari kiri Yahaya, Fauzi, Mazlan, Mohd. Solihan dan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Nurul Huda Hassan bergambar bersama-sama pengamal media pada Mesyuarat Agung Tahunan KMJ di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mengajak organisasi dan pengamal media menjadi rakan strategik kerajaan negeri bagi memastikan setiap polisi dan dasar yang dilaksanakan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Beliau yang merupakan Penaung Kelab Media Johor (KMJ) berkata, ini kerana media menjadi komponen penting dalam pembangunan rakyat dan negeri, khususnya dalam merealisasikan kerangka pelan pembangunan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkannya pada tahun lalu.

“Walaupun menjadi rakan strategik, namun ini tidak bermaksud media takut untuk mengkritik sekiranya wujud kekurangan dalam perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat.

“Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan pandangan serta idea daripada semua pihak termasuk pengamal media yang memang kaya dengan pendapat yang bernas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang yang mewakilinya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KMJ di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri; Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, Datuk Yahaya Madis dan Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak.

Hasni amat berharap media mempunyai aspirasi yang sama dan seiring dengan usaha serta inisiatif kerajaan negeri dalam membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat Johor.

Menurutnya, media bukan sahaja berperanan sebagai penyampai, penyebar maklumat dan dasar-dasar kerajaan, malah mempunyai tanggungjawab serta amanah penting dalam menyuburkan nilai perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.

“Dalam era ledakan media baharu seiring perubahan zaman, media perlu terus menjadi ejen penyampai maklumat yang tepat dan melaporkan dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa rasa takut serta berpegang teguh dengan prinsip dan etika kewartawanan yang tulen.

“Tidak dinafikan bahawa rakan-rakan media kini menghadapi tugasan yang semakin mencabar berikutan pelbagai isu semasa, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata, media tradisional masih kekal relevan dan tidak berakhir ‘dimamah’ cabaran dunia digital kerana ada masyarakat yang masih memerlukan sumber berita dalam bentuk cetakan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

34  −  30  =