Hasilkan inovasi katil untuk pesakit di rumah

 Hasilkan inovasi katil untuk pesakit di rumah

Mohd Amiruddin Fauzi sedang menghasilkan inovasi katil pesakit menggunakan kawalan butang dibengkelnya. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

JERANTUT, 18 Jun — Inovasi katil pesakit menggunakan kawalan butang dihasilkan pasangan suami isteri dari Felda Jengka 12, dekat sini dapat memudahkan pesakit yang tidak dapat bergerak.

Mohd Amiruddin Fauzi, 44, dan isterinya, Zamilah Hamzah, 41, menghasilkan katil itu tujuh tahun lalu selepas melakukan kajian dan ujian dalam bengkel diusahakan mereka.

Menurut Zamilah, pengalaman suami yang pernah mengikuti latihan dalam bidang kimpalan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Selangor dan pengajian dalam bidang sama di Jepun, menambahkan lagi kemahiran dimiliki.

Mohd Amiruddin Fauzi, dan isterinya, Zamilah Hamzah menghasilkan inovasi katil pesakit menggunakan kawalan butang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Sebelum ini dia (Mohd Amiruddin) hanya menghasilkan katil biasa yang boleh dilaras kedudukan pada bahagian kepala pesakit secara manual, namun selepas dia perbaiki ciptaan itu dengan memperkenalkan butang kawalan.

“Dengan inovasi ini, pesakit boleh melaraskan sendiri kedudukan bahagian kepala mereka untuk keselesaan dan ia lebih mudah dikendalikan,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata, permintaan terhadap katil pesakit dihasilkan sangat menggalakkan dan setiap bulan, mereka boleh menjual antara lima hingga 15 unit katil jenis itu.

Katanya, hasil inovasi berkenaan turut mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas sempena Hari Inovasi Felda Wilayah Jengka 2019.

“Katil ini dijual pada harga RM700 bagi versi manual dan RM1,300 bagi automatik, tanpa tilam dan bantal.

“Setiap unit mampu menampung berat sehingga 100 kilogram dan biasanya dibeli oleh pelanggan daripada beberapa negeri seperti Selangor dan Johor,” katanya.

hasil inovasi berkenaan turut mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas sempena Hari Inovasi Felda Wilayah Jengka 2019. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Sementara itu, Mohd Amiruddin berkata, setiap unit katil boleh disiapkan dalam masa seminggu, termasuk kerja mengecat yang dibantu empat pekerjanya.

“Katil ini dapat meringankan beban ahli keluarga menjaga pesakit angin ahmar dan mereka yang baharu bersalin.

“Saya terharu setiap kali ada pihak membeli katil rekaan saya untuk digunakan bagi keselesaan pesakit kerana saya pernah alami keadaan sama semasa isteri melahirkan anak ke lima yang memerlukan pembedahan, selama lima bulan isteri berada diatas katil berkenaan kerana pembedahan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  59  =  62