Hasil kutipan saman tingkat fasiliti PDRM – BERSATU Johor

 Hasil kutipan saman tingkat fasiliti PDRM – BERSATU Johor

JOHOR BAHRU – Kutipan saman trafik menerusi diskaun 80 peratus melibatkan pembayaran 2.3 juta saman hingga hujung tahun ini disaran digunakan untuk meningkatkan fasiliti di semua premis Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, saranan itu sebagai insentif kepada pasukan keselamatan tersebut dan diharapkan hasil itu tidak dimasukkan ke dalam akaun hasil negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri berkata, ini kerana kutipan saman kesalahan trafik bukan pendapatan yang diunjurkan dalam Belanjawan Negara.

“Jadi, atas semangat 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, kutipan kali ini disaran dibelanjakan untuk kebaikan PDRM yang sentiasa komited dan kental menjadi sebahagian daripada pasukan barisan hadapan negara.

“Sebagai agensi penguat kuasa, kita sedia maklum, premis PDRM dibina dan diurus berasingan, sekali gus anggota pasukan ini tidak menikmati fasiliti sebagaimana petugas jabatan mahupun agensi Persekutuan lain yang lazimnya beroperasi di bawah satu bumbung seperti Wisma Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Solihan berkata, saranan supaya hasil kutipan saman dibelanjakan untuk membantu meningkatkan fasiliti PDRM itu sebenarnya kecil berbanding peruntukan tahunan menerusi Belanjawan 2022.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu berkata, insentif itu tetap memberi makna besar yang tersendiri kepada pasukan tersebut.

Jelasnya, penambahbaikan fasiliti tempat kerja adalah satu proses berterusan yang tidak dinafikan mampu memberi kesan kepada peningkatan kualiti dan prestasi jentera kerajaan termasuk PDRM dalam memberi khidmat khususnya dalam menguatkuasakan undang-undang.

BERSATU Johor berharap saranan itu tidak disalah tafsir sehingga menjadi isu dan mencetuskan polemik atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak, tetapi diberikan atas sifatnya sebagai insentif serta penghargaan kepada PDRM.

Pihak PDRM pasti mengalu-alukan saranan tersebut dan pemberian insentif kerajaan ini pasti dibalas dengan komitmen perkhidmatan yang lebih jitu oleh seluruh warganya.

Bermula 9 Disember lalu hingga semalam, sebanyak RM109 juta berjaya dikutip dan jumlah itu dijangka meningkat apabila tempoh pembayaran saman trafik berkenaan dilanjutkan hingga 31 Disember ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  2  =