• Sunday, 20 June 2021, 12:41 pm

Hasil keledek diserang tikus tanah waktu malam

 Hasil keledek diserang tikus tanah waktu malam

PEKAN, 7 Jun — Ancaman tikus tanah yang banyak tidak menjadi penghalang pada lima bersaudara untuk mengusahakan tanaman keledek seluas 0.8 hektar di Kampung Air Hitam, dekat sini.

Projek diusahakan masyarskat Orang Asli suku Jakun itu membabitkan tanaman keledek jenis putih madu dan oren madu atau jepun yang mengambil masa untuk matang kira-kira tiga bulan.

Menurut Amran Juara, 41, ancaman tikus tanah pada usia pokok lebih dua bulan ketika mula mengeluarkan hasil menjadi cabaran yang memerlukan perhatian secara berterusan.

Menurutnya, racun tikus terpaksa digunakan dalam mengawal ancaman makhluk perosak itu, hampir setiap malam beberapa kumpulan tikus datang menyerang kebun keledeknya yang berada dalam kawasan tanaman kelapa sawit.

Katanya, sebelum memulakan projek pertanian berkenaan mereka hanya bersedia berhadapan ancaman kumpulan babi hutan kerana kedudukan kawasan tanaman bersebelahan dengan hutan, namun berlaku sebaliknya apabila babi tidak banyak merosakan tanaman.

Pekebun, Amran Juara (kiri) dan Tan Boo Heng kali pertama mengusahakan tanaman keledek seluas 0.8 hektar di Kampung Air Hitam. Foto oleh Mohd Fikri Mie

“Kumpulan babi ada masuk dalam kawasan kebun namun hanya untuk melintas sebelum ke kawasan hutan berhampiran, haiwan berkenaan tidak bertindak memusnahkan pokok keledek.

“Hanya tikus tanah sahaja bertindak mengali dan makan keledek matang, saya terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan untuk membeli racun tikus yang diletakan dibeberapa kawasan dalam kebun,” katanya, di sini semalam.

Bagi Tan Boo Heng, 31, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli racun tikus, modal keseluruhan dikeluarkan lebih RM3,500 bagi penyediaan kawasan tanaman, membeli benih, baja dan racun.

Katanya, projek tanaman keledek ini merupakan kali pertama diusahakan selepas selesai menanam pokok kelapa sawit, kami bermula pada Mac lalu dengan konsep gotong-royong bersama dua keluarga.

“Tanaman keledek tidak memerlukan modal yang besar berbanding tembikai, ancaman musuh cuma membabitkan tikus tanah yang menyerang pada waktu malam dengan memusnahkan beberapa kilogram keledek matang.

“Selepas ini saya bercadang untuk menanam labu manis, namun sebelum itu saya akan mendapat nasihat daripada agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang yang bertanggungjawab memasarkan hasil,” kata bapa pada empat cahayamata itu.

Beliau berkata, semua keledek akan dipasarkan kepada FAMA kerana dia tidak mempunyai pemborong selain faktor sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang menyebabkan aktiviti jualan tidak dapat dilakukan.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *