Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Harimau Malaya mangsa Naga Emas, terkubur hasrat ke Piala Dunia

DUBAI 11 JUN 2021. Penjaga Gol Vietnam, B. Tan Truong menyelamatkan percubaan dari pemain Malaysia, Aidil Zafuan dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum. WMY/Adli Ghazali
DUBAI, 12 Jun. – Harapan Malaysia untuk melangkah ke Piala Dunia sekali lagi terbantut selepas dikecewakan oleh Vietnam 1-2 dalam perlawanan Kumpulan G peringkat pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia yang berlangsung di Stadium Al-Maktoum, Dubai awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe bermula dengan baik pada 15 minit pertama dengan memberikan saingan dan tekanan kepada Vietnam namun Vietnam tidak gentar dan terus membuat beberapa percubaan ke gawang Malaysia.
Kealpaan pemain Harimau Malaya tidak menjaga pemain playmaker Vietnam mengundang padah apabila Nguyen Tien Linh dengan mudah menanduk masuk gol pendahuluan Vietnam pada minit ke-27 menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Barisan jentera tengah negara yang diketuai oleh Brendan Gan, Syamer Kutty dan Azam Azih juga membuat beberapa hantaran dan lorongan untuk mencipta peluang dan percubaan buat barisan penyerang namun tidak berhasil.

Dalam separuh masa kedua, Malaysia dan Vietnam membuat beberapa pertukaran pemain yang menyaksikan perubahan taktikal dan serangan dari kedua-dua pihak.
Pada minit ke 72, pemain naturalisasi negara, Guilherme De’Paula dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas dikasari oleh pertahanan Vietnam dalam kotak penalti..

Biarpun tewas dalam perlawanan ini, anak buah Tan Cheng Hoe harus diberikan pujian kerana mempamerkan aksi yang lebih bersemangat juang yang tinggi berbanding perlawanan menentang UAE yang menyaksikan Malaysia diratah 4-0.

Vietnam kini menduduki tangga teratas kumpulan G dengan 17 mata diikuti dengan UAE (15 mata), Thailand dan Malaysia (9 mata) manakala Indonesia berada di tangga tercorot dengan 1 mata.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah layak ke Pusingan akhir Piala Dunia dan kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia adalah pada tahun 2007.
Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir Selasa depan yang turut akan menentukan nasib Malaysia ke Piala Asia.