Harimau Malaya buru slot Piala Asia, peluang pemain muda menyinar

 Harimau Malaya buru slot Piala Asia, peluang pemain muda menyinar

Barisan pemain pasukan Malaysia bergambar sebelum pertemuan mereka menetang Vietnam untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum. Foto WMY/Adli Ghazali

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Selepas dihujani pelbagai kritikan susulan kekalahan 0-4 kepada UAE dan 1-2 kepada Vietnam, skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain selain menang dalam perlawanan menentang Thailand awal Rabu ini untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Dua kekalahan itu kini meletakkan Malaysia di kedudukan keempat Kumpulan G dan menutup terus pintu skuad kebangsaan ke Piala Dunia, selain terpaksa melalui jalan lebih berliku dalam memburu slot beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Berkongsi sembilan mata dengan bersama Thailand yang berada di tempat ketiga, hanya kemenangan dapat memastikan Malaysia merampas kedudukan itu untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 tanpa berdepan risiko besar melalui aksi playoff.

Bebanan di bahu Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe bertambah lebih berat apabila, tiga tonggak utama La’Vere Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh tidak dapat diturunkan susulan digantung satu perlawanan.

Aksi Muhamadou Sumareh (tengah) cuba melepasi pemain Vietnam,D. Van Hau dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum. Sumareh bakal terlepas aksi bertemu Thailand susulan digantung satu perlawanan. Foto WMY/Adli Ghazali

Walau bagaimanapun, situasi ini memberi peluang kepada barisan ‘anak tempatan’ negara untuk membuktikan kemampuan antaranya pemain muda yang dibarisi Arif Aiman Mohd Hanapi, 19, dan Muhammad Syahmi Safari, 23, yang mempunyai rekod baik berdepan Thailand.

Arif Aiman mempamerkan aksi menarik dengan kelincahannya selepas dibawa masuk menggantikan Sumareh pada perlawanan Sabtu lepas, sementara Muhammad Syahmi pernah meledak gol membantu Malaysia mengatasi Thailand pada aksi separuh akir Piala AFF 2018 di Bangkok.

Dalam 10 pertemuan terakhir sejak Disember 2010, Malaysia hanya memenangi dua perlawanan sementara tewas dan seri masing-masing empat kali. Setakat ini Cheng Hoe masih belum tewas dalam tiga perlawanan menentang skuad Gajah Perang sejak mengambil alih tugas membimbing skuad kebangsaan pada Disember 2017.

Barisan pemain muda Harimau Malaya ketika menjalani latihan ringan sebelum perlawanan menentang Vietnam lalu. Foto WMY/Adli Ghazali

Kali terakhir bertemu pada November 2019, kemenangan 2-1 memihak kepada Malaysia dengan Brendan Gan dan Sumareh masing-masing meledak gol pada aksi kumpulan kempen kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, Thailand turut memburu tiga mata selepas tercicir dalam aksi terakhir mereka menentang Indonesia yang seri 2-2 dan tewas 1-3 kepada UAE sebelum ini.

Menurut statistik sepanjang kempen kelayakan berlangsung, Thailand memiliki kekuatan pertahanan lebih baik berbanding Malaysia apabila merekodkan lapan bolos selepas tujuh perlawanan sementara Malaysia dibolosi 12 gol.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *