Harga seekor lembu sado, menyamai 100 lembu kampung

 Harga seekor lembu sado, menyamai 100 lembu kampung

Lembu sado boleh mencecah berat 600 kilogram dan dijual dengan harga RM71,000

Oleh Ama Alias

PASIR MAS, 26 Mac – Jika sebelum ini menternak lembu dianggap sebagai kerja orang kampung namun kemunculan baka lembu sado telah merubah persepsi tersebut malah penternaknya mampu meraih pendapatan lumayan dalam tempoh singkat.

Ini kerana, harga seekor lembu sado mencecah puluhan ribu ringgit sekali gus memberi pulangan cukup lumayan kepada penternak.

Kebanyakkan baka lembu sado yang diternak adalah jenis Charolais, Limosin, Blonde, Indra 95 dan Blue Beggar yang terkenal dengan bentuk fizikal yag tegap dan berotot yang mana beratnya mampu mencecah  600 kilogram seekor!

Malah, tidak hairanlah lembu ini digelar ‘sado’ dan harga jualan mampu meningkat tiga kali ganda hanya dalam tempoh singkat antara dua minggu hingga setahun sahaja.

Zahari (kiri): Hobi menternak lembu sado menjadikan pengembala jutawan segera kerana harga jualannya boleh meningkat tiga kali ganda hanya dalam tempoh dua minggu hingga setahun sahaja

Penternak, Zahari Umar, 58, berkata trend memelihara lembu sado di Kelantan bermula dari kemunculan spesies itu di negara jiran, di mana ternakan ini dilihat lebih memberi keuntungan berbanding lembu tempatan walaupun ia dipelihara hanya untuk dijadikan hiasan berbanding lembu tempatan yang dipelihara untuk daging.

Menurut beliau, menternak lembu sado juga lebih mudah kerana ia hanya perlu diletakkan dalam kandang sahaja, berbanding lembu kampung yang perlu dibawa keluar masuk untuk meragut rumput.

“Kerana lembu jenis haiwan hiasan, kita berikan ia makanan khas iaitu rumput napier yang kaya khasiat selain kita jaga kebersihannya.

“Walaupun memelihara lembu sado memerlukan modal yang tinggi, namun keuntungannya berlipat kali ganda kerana lembu ini mempunyai peminat tersendiri. Yang penting, ketika membelinya, kita perlu tahu ciri-ciri khas yang menjadikan lembu itu laris dijual,” katanya yang sudah menjual 40 ekor lembu sado sejak 2015.

Beliau sendiri mempunyai seekor lembu sado diberi nama Luna berusia 23 bulan yang kini harganya mencecah RM71,000.

Perkara yang penting ketika memelihara lembu sado ialah menititikberatkan mutu pemakanan dan kebersihan dengan memberinya makanan terbaik seperti rumput napier yang ditanam sendiri, campuran dedak daripada tiga jenis dedak iaitu PKE No 8878, dedak kambing hitam dan dedak soya.

“Lembu perlu dimandikan dua kali sehari dan disuntik vitamin enam bulan sekali bagi mencegah penyakit,” katanya.

Bagi Mohd Azuri Ibrahim, 49, pula, panduan utama untuk membeli lembu sado dan menjualnya semula bagi mendapat keuntungan adalah dengan melihat bentuk rahang haiwan berkenaan. Antaranya bermuka pendek, telinga berbentuk bulat kecil yang dipanggil telinga daun nangka dan aspek lain seperti mata, punggung dan berat.

“Biasanya, ketika mahu membeli lembu kita bawa ‘pakar’ atau ‘tukang tilik’ yang pakar dan berpengalaman berkaitan lembu sado untuk menilai kecantikan lembu berkenaan, jika bertuah, lembu yang dibeli boleh pula dijual dengan harga yang jauh lebih mahal jika dijaga rapi.

“Malah, harga seekor lembu sado mampu mengatasi harga 100 ekor lembu kampung,” katanya yang memelihara haiwan itu di Kampung Kubang Batu.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Chetok, Muhammad Arif Mahmud berkata, hobi memelihara lembu sado kini semakin mendapat tempat di Kelantan sehingga menjadikan negeri ini perintis ternakan lembu spesies itu di negara ini.

Katanya, di Pasir Mas sahaja, ada lebih 20 penternakan lembu sado yang membabitkan beberapa kampung seperti Kampung Chica Tinggi, Kubang Batu, Tok Uban, Perol dan Simpol dengan purata tidak  kurang lima ekor lembu bagi seorang penternak.

“Hobi ini bukan saja meningkatkan ekonomi penduduk malah boleh dijadikan produk baharu untuk pelancongan di Kelantan apabila menetapkan satu lokaliti sebagai kawasan ternakan lembu sado. Jadi, kami berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk menyediakan prasarana yang sesuai bagi menggalakkan lebih ramai penternak lembu kampung menjadi jutawan lembu sado pada masa akan datang,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  22  =  32