Harga minyak kukuh dorong kenaikan ringgit

 Harga minyak kukuh dorong kenaikan ringgit

KUALA LUMPUR, 15 April — Ringgit meningkat 50 mata asas (bps) berbanding dolar US sewaktu dibuka hari ini, didorong oleh harga minyak yang kukuh yang menokok hampir 5.0 peratus semalaman berikutan peningkatan permintaan.

Pada 9.01 pagi, unit tempatan naik kepada 4.1220/1250 berbanding dolar US daripada 4.1270/1300 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata harga minyak mentah yang kukuh telah mendorong peningkatan ringgit.

“Dengan hasil bon Amerika Syarikat (AS) menghampiri paras terendah julat semasa dan minyak mentah meningkat amat baik semalaman selepas laporan inventori Agensi Tenaga Antarabangsa yang optimis memacu mata wang komoditi G-10 menjadi lebih tinggi, seseorang boleh menjangkakan ringgit akan mengiringi momentum harga minyak dengan (pelaburan) mengalir ke sektor minyak dan gas yang berhasrat mencatatkan kenaikan,” katanya kepada Bernama.

Niaga hadapan penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent meningkat 4.6 peratus untuk ditutup kepada US$66.58 setong pada Rabu, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 4.9 mata kepada US$63.15 setong.

Bagaimanapun, ringgit lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0874/0913 daripada 3.0861/0888 pada Rabu dan susut berbanding yen kepada 3.7865/7900 daripada 3.7855/7890.

Berbanding pound, mata wang tempatan jatuh kepada 5.6847/6892 daripada 5.6825/6874 semalam, manakala berbanding euro, ia turun kepada 4.9406/9459 daripada 4.9342/9387 sebelum ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =