Harga barang naik tak jejas eksport ke Singapura

 Harga barang naik tak jejas eksport ke Singapura

Fat Full (tengah) melakukan gimik perasmian Projek Aquagro Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Jalan Bacang, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Tiada keperluan untuk kerajaan mengurangkan eksport barangan keperluan harian ke Singapura susulan peningkatan harga barang di Johor dan seluruh negara baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, ini kerana kenaikan harga yang berlaku bukan disebabkan kekurangan bekalan asas, sebaliknya kos yang meningkat.

“Kita perlu faham bahawa kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini bukan disebabkan kurangnya bekalan dalam pasaran, tetapi sebaliknya kerana kenaikan kos seperti harga baja dan racun.

“Buktinya boleh lihat kesemua barangan itu ada dijual di pasaran tempatan dan mudah diperoleh, cuma harganya dijual mahal daripada biasa.

“Oleh itu, tiada keperluan mengurangkan eksport ke Singapura, namun jika benar berlaku kekurangan barangan keperluan, pastilah kita perlu utamakan keperluan masyarakat tempatan dahulu,” katanya selepas melawat Aquagro Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Jalan Bacang, Taman Kota Masai di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merekodkan tiga kes sejak pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dilancarkan baru-baru ini.

Beliau memberitahu, tiga kes dikesan melibatkan peniaga di sekitar daerah ini, antaranya kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan mereka dikompaun antara RM200 hingga RM300 mengikut kesalahan.

Sementara itu, Fat Full menggalakkan Projek Aquagro, iaitu melibatkan pertanian terutamanya tanaman kontan dan penternakan ikan diusahakan di KRT dalam keadaan harga barang yang meningkat ketika ini.

Jelasnya, Projek Aquagro merupakan projek tanaman seperti sayur-sayuran dan penternakan ikan di KRT terpilih di setiap daerah dan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM10,000.

Hingga kini terdapat 12 buah Projek Aqugro di seluruh negeri dengan matlamat untuk membantu komuniti menjana ekonomi dan pendapatan sampingan membantu mengurangkan kos sara hidup.

Kerajaan Persekutuan juga akan membantu daripada segi geran dengan memberikan kemudahan dan peralatan pertanian.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

64  −  63  =