Hapuskan penyelewangan, ANGKASA seru anggota koperasi jalankan perniagaan patuh syariah

 Hapuskan penyelewangan, ANGKASA seru anggota koperasi jalankan perniagaan patuh syariah

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)  Datuk Abdul Fattah Abdullah. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Semua anggota koperasi perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap urusan yang dijalankan oleh koperasi adalah patuh syariah.

Menurut Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)  Datuk Abdul Fattah Abdullah, perkara ini penting dalam menghapuskan segala penyelewangan dan penipuan dalam pelaburan dan secara tidak langsung dapat menggunakan sumber ekonomi secara lebih optimum.

Katanya, hasil tinjauan ekonomi pada tahun lalu oleh Bank Negara menunjukkan bahawa Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) sekuriti patuh syariah berjumlah RM1.3 bilion daripada keseluruhan ADV yang bernilai RM2 bilion.

“Secara keseluruhannya, di Malaysia terdapat 69 penasihat syariah yang terdiri daripada 49 individu dan 20 syarikat bagi menyokong usaha memperkukuhkan urus niaga produk patuh syariah,” katanya.

Malaysia juga merupakan antara pasaran kewangan termaju di peringkat global dan peneraju di peringkat ASEAN.

“Bagi memastikan koperasi memilih platform syariah dalam tadbir urus perniagaannya, ANGKASA telah menyediakan pensijilan Patuh Syariah ANGKASA,” katanya.

Beliau turut berkata pengiktiran tersebut dinilai dengan kredibiliti Jawatankuasa Syariah ANGKASA yang mempunyai kepakaran dalam bidang Syariah Muamalat dan juga bidang-bidang yang berkaitan dengannya.

Abdul Fattah yang juga merupakan Presiden ASEAN Cooperative Organization berkata demikian ketika merasmikan program Cakna Muamalat Dalam Gerakan Koperasi bertajuk ‘Pelaburan Patuh Syariah vs Skim Cepat Kaya’.

Beliau juga amat berharap agar pengisian program ini dapat memberi manfaat kepada semua yang menyertainya bagi membezakan skim pelaburan yang halal dengan skim cepat kaya supaya tidak ada mana-mana pihak khususnya anggota koperasi yang terpedaya dan mengalami kerugian akibat skim pelaburan yang diragui.

Objektif program ini juga adalah bagi membincangkan tentang pelaburan patuh syariah dan skim cepat kaya agar warga koperasi tidak terlibat dalam jenayah kewangan   selain mengetahui instrumen pelaburan yang dibenarkan  oleh hukum syarak.

Program tersebut yang berlangsung secara maya hari ini (22 Jun 2021) menerusi aplikasi Zoom Meeting turut disiarkan secara ‘live’ di Facebook ANGKASA dan disaksikan oleh lebih 95 peserta yang terdiri daripada kalangan Naib Presiden ANGKASA, Anggota Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA dan anggota koperasi.

Dua panelis telah dijemput bagi menjayakan program iaitu Ahli Jawatankuasa Syariah ANGKASA, Dr. Abdullaah Jalil dan Ahli Jawatankuasa Syariah, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad iaitu Al-Fadhil Ustaz Wan Rumaizi Wan Husin.

Antara penekanan yang dihuraikan adalah tentang kaedah mengenalpasti pelaburan  yang berasaskan patuh syariah iaitu pelabur perlu memahami syarat asas yang terkandung di dalam kontrak sebelum melabur. Selain itu, pelabur juga perlu mengenalpasti terlebih dahulu aset yang bakal digunakan terhadap sesuatu pelaburan sama ada patuh syariah atau tidak.

Kedua-dua panel tersebut juga turut menjawab pelbagai soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh peserta sebelum program berakhir pada 12.30 tengahari tadi.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  4