• Sunday, 20 June 2021, 9:55 am

Hanya kemenangan mampu cuci nama Harimau Malaya

 Hanya kemenangan mampu cuci nama Harimau Malaya

Pemain Malaysia, Dion Johan Cools (tengah) dihalang oleh pemain UAE dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel. WMY/Adli Ghazali

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Bagi mencuci nama buruk selepas aksi mengecawakan sebelum ini, skuad Harimau Malaya perlu menang dalam pertemuan bersama Vietnam di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Sabtu ini di Stadium Al Maktoum, Dubai. Hanya kemenangan!

Vietnam kini duduk di tangga teratas kumpulan G selepas membenam Indonesi 4-0 kelmarin dengan 14 mata selepas enam perlawanan manakala Malaysia menduduki tangga keempat dengan sembilan mata selepas dikecewakan dengan jaringan sama ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas.

Skuad Naga Emas itu yang menduduki ranking ke-92 dunia ternyata berada di kelas tersendiri sejak beberapa tahun ini selain mempunyai rekod yang lebih cantik menentang Malaysia.

Sejak diambil alih jurulatih Korea Selatan Park Hang Seo pada 2017, Vietnam menang sebanyak tiga kali dan seri sekali menentang Malaysia, dengan pertemuan terakhir dimenangi Vietnam dengan keputusan 1-0 di Hanoi pada Oktober 2019.

Sejak kalah tipis 1-0 kepada Jepun dalam aksi suku akhir Piala Asia 2019, Vietnam tidak pernah merasa kekalahan dalam tujuh perlawanan seterusnya, termasuk kejayaan menumpaskan UAE 1-0 pada 2019 dan seri 1-1 menentang Jordan baru-baru ini.

Vietnam bagaimanapun tidak akan menurun pemain terbaiknya, Nguyen Quang Hai yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning sekali gus memberikan sedikit rasa lega kepada Tan Cheng Hoe dan anak buahnya.

Walaupun dibedal 4-0, kehadiran pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia Dion Cools dilihat berjaya mengguatkan benteng pertahanan negara apabila gandingannya bersama Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Matthew Davies dan La’Vere Lawrence Corbin-Ong membolehkan skuad negara bertahan dengan hanya bolos satu gol sehingga ke minit ke-83 menentang UAE.

Namun, prestasi yang mengecewakan di bahagian tengah dan serangan selain kegagalan pemain untuk bermain sebagai satu pasukan amat merisaukan Cheng Hoe untuk berdepan juara Piala AFF Suzuki 2018 itu, sekali gus perlu fikir di luar kotak untuk mengekang Vietnam.

Dua pemain naturalisasi terbaru negara, penyerang Guilherme De Paula dan tonggak tengah Liridon Krasniqi juga perlu menunjukkan aksi yang diharapkan untuk membuktikan keistimewaan yang diberi.

Kehadiran semula Brendan Gan, yang digantung satu perlawanan sebelum ini diharap dapat melancarkan pergerakan di bahagian tengah selain menjadi penghubung di antara pertahanan dan serangan dalam membuat lorongan bola bahayanya.

Dengan peluang di Kumpulan G yang masih terbuka setakat ini, skuad Harimau Malaya perlu pandang ke depan dan melupakan rekod lampau serta kekecewaan sebelum ini untuk tampil yakin dengan kemampuan pasukan sekali gus menamatkan badi kemenangan ke atas skuad kendalian Hang Seo.

Ayuh Harimau Malaya, hari ini kita mesti menang!

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *