Hanya Agong layak tamatkan saya – Azam Baki

 Hanya Agong layak tamatkan saya – Azam Baki

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kontroversi salah laku berkaitan dirinya.

Muktamad dengan pendiriannya, Azam bertegas untuk tidak mempedulikan sebarang tuntutan oleh pihak tertentu, sebaliknya berpegang pada prinsip yang layak menamatkan tugasnya ialah Yang di-Pertuan Agong.

Tan Sri Azam Baki

“Saya tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya, iaitu Yang di-Pertuan Agong.

“Selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Jelasnya lagi, beliau sudah pun ‘menyerahkan diri’ kepada pihak jawatankuasa SPRM untuk siasatan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat bersabar terlebih dahulu dan percaya kebenaran akan terungkap pada waktu tepat.

“Satu hari nanti pada waktu ketika yang sesuai, semua orang akan tahu juga kebenarannya,” katanya.

Istana Negara

Sementara itu, Azam sekali lagi menegaskan sudah mengikuti segala protokol ditetapkan dan melakukan apa yang perlu.

Beliau turut menafikan, merayu kepada mana-mana pihak atau parti politik untuk memihak kepadanya berhubung dakwaan pemilikan saham yang dihadapinya ketika ini.

Sebaliknya, beliau sendiri akan menunjukkan kebenaran apabila tiba masa yang sesuai.

“Saya bukan ahli politik, tetapi pegawai kanan kerajaan yang mempunyai banyak kerja yang mesti diberi perhatian dan diselesaikan dengan sewajarnya.

“Pada saya, sebenarnya tidak perlu saya maklumkan kepada orang ramai, kerana nanti nampaknya saya tidak ada kerja lain,” katanya.

Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya, beliau tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

“Perkara pertama yang perlu saya beri keutamaan adalah memberi maklum balas kepada ahli lembaga penasihat SPRM.

“Mereka adalah orang yang perlu saya hormati dan perlu mengetahui perkara ini terlebih dahulu,” katanya.

Nama Azam hangat diperkatakan di media sosial sejak seminggu lalu ekoran kontroversi berkait dakwaan beliau memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Bagaimanapun, pada satu sidang media khas, beliau menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya untuk memperoleh saham itu.

Sumber : Sinar Harian Online, Astro AWANI Online

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

47  −  37  =