Hanya 20.2 peratus penduduk Labuan isi maklumat bancian 2020

 Hanya 20.2 peratus penduduk Labuan isi maklumat bancian 2020

LABUAN, 19 Mac (Bernama) — Kira-kira 20,000 atau 20.2 peratus daripada 103,000 rakyat Malaysia di pulau bebas cukai di sini sudah mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat 10 Mac lepas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia Labuan, walaupun kaedah dalam talian e-Census masih dibuka, masih ramai yang belum mengisi maklumat banci, justeru jabatan itu meminta kerjasama orang ramai untuk menyertai proses bancian sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Banci 2020 di Labuan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama (dalam talian) dari 7 Julai 2020 dan fasa kedua (bersemuka) dari 23 Feb hingga 30 Jun 2021 (tertakluk kepada perubahan semasa) di semua kawasan perumahan dan kampung di seluruh pulau ini.

“Pada masa ini, pembanci digerakkan untuk pelaksanaan bancian secara bersemuka mengikut kesesuaian dan keselesaan masyarakat tempatan berikutan pandemik COVID-19,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu memaklumkan maklumat yang diperoleh daripada proses bancian seperti profil penduduk dan isi rumah akan digunakan untuk merancang, merangka dan melaksanakan dasar kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negara demi kepentingan masa hadapan rakyat.

Berdasarkan maklum balas yang diterima hingga 10 Mac, jumlah penduduk Malaysia yang sudah dibanci ialah 11.4 juta atau 34.9 peratus berbanding anggaran penduduk pada 2020 sebanyak 32.7 juta, menurut jabatan itu.

Maklumat lanjut mengenai perkara berkaitan proses banci boleh menghubungi talian  087-418689/366/159/142.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

11  −  10  =