Hamzah kecewa, tegur JKR supaya lantik kontraktor berwibawa

 Hamzah kecewa, tegur JKR supaya lantik kontraktor berwibawa

Hamzah (tengah) menyaksikan penyerahkan dokumen dalam Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri (IPD) di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kecewa dan menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya melantik syarikat kontraktor yang benar-benar layak dan bukan lantikan daripada tindakan melobi.

Beliau berkata, pemberian projek pembangunan kepada syarikat pembinaan hasil daripada tindakan itu kerap menimbulkan masalah termasuk projek kerajaan yang tertangguh sehingga gagal disiapkan.

“Selaku menteri, saya mohon pada JKR kalau ada projek yang kita bangunkan bersama selepas ini tolong cari kontraktor yang benar-benar mampu, kita tidak mahu lagi masalah ini timbul di kemudian hari.

“Kami bersedia untuk siapa sahaja yang dilantik JKR, tetapi biarlah dilakukan dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana lobi melobi. Akhirnya yang kuat melobi itu jadi penyebab masalah di kemudian hari,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN); Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz;  Ketua Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

Hamzah berkata, ketika ini terdapat lima ibu pejabat polis daerah (IPD) sedang dibina di seluruh negara dengan kos RM620 juta yang dijadualkan siap pada tahun 2022 dan 2024.

Projek berkenaan ialah IPD Muallim, Perak dengan kos RM85 juta dijadual siap pada 10 Julai tahun depan, selain IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta) dijadual siap pada 31 Ogos tahun depan.

“Selain itu IPD Lawas, Sarawak (138.07 juta) dijadual siap pada 9 September tahun depan, IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dijadual siap pada 14 April 2024, manakala IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta) akan masuk tapak pada tahun depan.

“Semua IPD ini sedang dibina kecuali IPD Klang Utara. Selain lima IPD ini, satu lagi IPD akan dibina yang kini dalam proses dokumentasi, iaitu IPD Belaga, Sarawak dengan kos RM90 juta,” katanya.

Semua IPD berkenaan tidak mempunyai masalah seperti dihadapi IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada 2014, tetapi mengalami kelewatan akibat masalah berkaitan kontraktor.

Pembinaan lima IPD baharu itu akan memberi keselesaan kepada anggota serta pegawai terbabit dan ketika ini terdapat 157 IPD di seluruh negara dan hanya IPD Klang Utara yang masih menyewa.

Ketika ditanya berkenaan bangunan lama ibu pejabat polis kontinjen (IPK) di negeri, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap bangunan IPK di Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Jelasnya, peruntukan untuk IPK tersebut masih belum ada, namun keutamaan akan diberikan kepada IPK Pulau Pinang terlebih dahulu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  +    =  86