• Thursday, 17 June 2021, 1:59 pm

Hamas, Israel setuju gencatan senjata pagi tadi

 Hamas, Israel setuju gencatan senjata pagi tadi

GAZA, 21 Mei – Selepas 11 hari saling membuat serangan roket, perjanjian gencatan senjata bersama dan serentak antara Hamas dan Israel berjaya dicapai dengan pengantaraan Mesir berkuat kuasa awal pagi tadi.

Agensi Anadolu melaporkan, Kabinet Keselamatan Israel membuat keputusan untuk menghentikan serangan di Gaza yang bermula 10 Mei lalu dan menerima gencatan senjata berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri juga mengesahkan dan bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata tersebut walaupun pesawat perang Israel menyerang jalur Gaza hanya satu jam sebelum pendamaian itu.

Seramai 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita, terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 10 Mei.

Sementara itu di Washington, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyambut baik gencatan senjata antara Gaza dan Israel.

Beliau turut merayu kerjasama PBB bersama masyarakat antarabangsa bagi mengembangkan pakej sokongan pembinaan dan pembangunan semula bagi membantu rakyat Palestin serta memperkuatkan semula institusi mereka.

“Pemimpin Israel dan Palestin mempunyai tanggungjawab besar dan perlu memulai dialog serius untuk mengatasi punca konflik.

“PBB akan bekerjasama dengan Israel dan Palestin serta rakan antarabangsa dan serantau untuk kembali ke jalan perundingan yang bermakna selain menamatkan penjajahan dan kemungkinan mewujudkan penyelesaian dua negara berdasarkan garis 1967, resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian bersama,” kata Guterres.

Sementara itu, penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan langkah bagi menyekat jualan peluru berpandu kepada Israel bernilai AS$735 juta.

Menurut ahli kongres, Alexandria Ocasio-Cortez, ahli demokrat di Dewan Perwakilan AS telah memperkenalkan resolusi bersama untuk menyekat penjualan peluru berpandu bernilai AS$735 juta oleh Presiden Joe Biden kepada Israel dalam usaha menyekat pergerakan Hamas Palestin.

Katanya, peluru berpandu berkenaan dipercayai digunakan dalam keganasan yang telah meragut nyawa lebih 200 penduduk Palestin dan 10 orang Israel, termasuk sekurang-kurangnya 58 kanak-kanak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *