Hala tuju HSKLU dibawa MMKN Rabu depan

 Hala tuju HSKLU dibawa MMKN Rabu depan

KUALA LUMPUR, 3 Sept — Isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan cadangan Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) telah dibincangkan oleh pengerusi parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Selangor dalam satu pertemuan pada Jumaat.

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka bersetuju isu penyahwartaan HSKLU dibawa dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu depan.

“Semua pihak telah menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing berhubung isu tersebut.

“Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan membawa isu ini dalam mesyuarat MMKN untuk dipertimbangkan hala tuju dan keputusan dalam isu ini, ” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amirudin, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim.

Dalam kenyataan sama, mereka berkata, isu bantahan terhadap cadangan PJD Link turut dibincangkan secara terperinci dan mengambil maklum bahawa PJD Link belum diluluskan oleh kerajaan.

“Mesyuarat juga turut bersetuju menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuhraya Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX) atau seumpama dengannya.

“Kami komited dalam menjunjung semua prinsip-prinsip asas PH berkaitan alam sekitar dan agenda kepedulian rakyat sebagai pedoman serta panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri,” kata mereka.

Pada Khamis, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu Amirudin memberikan jaminan bahawa proses penyahwartaan HSKLU akan ditangguhkan sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  −  23  =