Hakisan tebing Sungai Pahang hampir musnahkan rumah penduduk

 Hakisan tebing Sungai Pahang hampir musnahkan rumah penduduk

Keadaan hakisan tebing Sungai Pahang di Kampung Temai Hilir.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 6 April – “Saya hanya mampu berdoa mengharapkan hakisan tebing Sungai Pahang tidak terus berlaku kerana ia turut akan mengakibatkan bahagian dapur rumah runtuh,” kata warga emas Mohd Ali Abdullah, 63.

Beliau yang menetap di Kampung Temai Hilir, di sini berkata, runtuhan tanah mula berlaku selepas kejadian hujan lebat selama tiga hari berturut-turut bulan lalu yang dianggap luar biasa.

Menurutnya, kejadian hakisan tebing Sungai Pahang berlaku kira-kira 10 malam ketika hujan lebat berlaku selama tiga hari berturut-turut hingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini.

Mohd Ali Abdullah minta kerajaan tangani hakisan tebing Sungai Pahang di Kampung Temai Hilir.

“Pada malam itu saya dapat mendengar akar pokok kelapa terlerai dan kemudian hakisan tebing sungai berlaku sepanjang kira-kira 100 meter.

“Hakisan kini terlalu hampir dengan bahagian dapur rumah saya. Tanah runtuh juga menyebabkan tangki najis bila-bila masa sahaja akan berada dalam sungai. Lantai bahagian dapur rumah saya juga retak,” katanya.

Mohd Ali berkata, hakisan yang berlaku menyebabkan lebih 10 pokok kekabu, kelapa dan kelapa sawit tumbang ke dalam Sungai Pahang dan menimpa sangkar ikan dan rumah rakit penduduk.

“Saya sekeluarga akan membina pondok sementara kira-kira 50 meter dari sungai sebagai persiapan sebarang kemungkinan berlaku, saya yakin bahagian dapur rumah saya bila-bila masa sahaja akan runtuh ke dalam Sungai Pahang.

Keadaan rumah Mohd Ali yang rosak akibat hakisan tebing Sungai Pahang di Kampung Temai Hilir.

“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmahnya, saya merayu kerajaan dapat memikirkan cara terbaik mengelak kejadian hakisan tebing sungai tidak terus berlaku.

“Dengan pendapatan sebagai penternak ikan sangkar saya tidak mungkin dapat membina benteng bagi mengelak hakisan sungai terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff telah meninjau kawasan kejadian hakisan bagi melihat kemusnahan yang berlaku.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  31  =  33