Hak pemilihan pemain tetap milik Cheng Hoe

 Hak pemilihan pemain tetap milik Cheng Hoe

Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan, Tan Cheng Hoe (kanan). WMY/Adli Ghazali

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Walaupun dikutuk dan ditentang hebat susulan kegagalan skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia, rakyat harus memberi peluang kepada Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe yang masih lagi memiliki hak dalam pemilihan pemainnya.

Malah dengan kedudukannya itu, Cheng Hoe mempunyai hak prerogatif untuk menentukan kesebelasan utama pasukan, dalam setiap perlawanan diharungi skuad negara.

Menurut bekas jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh berkata Cheng Hoe lebih mengenali dan mengenail tahap keupayaan pemainnya, selepas menghabiskan masa bertahun serta tenaga menilai perkembangan prestasi pasukan, dalam sesi latihan.

Beliau turut menyifatkan tiada siapa lebih bertanggungjawab terhadap ‘jatuh bangun’ prestasi sesebuah pasukan, selain ketua jurulatih.

“Pemain mana yang akan beraksi itu jurulatih yang tentukan, sebab dia (Cheng Hoe) hari-hari bersama pemain dan hari-hari memantau perkembangan pemain tersebut. Jangan kita pertikaikan keputusan jurulatih.

“Pilihan pemain dibuat jurulatih disebabkan dia dapat kepuasan yang diinginkan daripada pemain itu, berdasarkan dari sudut prestasi individu dalam latihan, tetapi apabila pada perlawanan sebenar prestasi pemain itu tidak menjadi. Itu lah lumrah bola sepak,” katanya.

Susulan dua kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini, pelbagai pihak terutamanya pengguna sosial media mula mempertikaikan pemilihan 26 pemain, yang menggalas cabaran pasukan negara pada kempen kelayakan itu.

Selain itu, tumpuan mereka lebih terarah kepada tiga pemain naturalisasi dalam skuad bimbingan Cheng Hoe, yang bukan sahaja disifatkan tidak memberikan sebarang impak kepada prestasi pasukan negara, malah gagal beraksi cemerlang sehingga mereka dianggap tidak memiliki semangat patriotik.

Bagaimanapun, Dollah yang juga bekas bintang skuad kebangsaan era 80-an berkata, tiada istilah pemain tidak mempunyai semangat apabila setiap kali menyarung jersi pasukan negara.

“Itu bukan isunya (semangat), siapa yang tidak semangat bila bermain untuk pasukan negara, cuma nak buat pasukan bermain sebagai sebuah pasukan bukan senang, persiapan pasukan kali ini pun terlalu singkat. Semua pemain ada semangat dan cara tersendiri untuk beraksi, sama ada dia ‘perform’ atau tidak, itu sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai kritikan yang diterima penyerang naturalisasi Guilherme De Paula sejak dari pertemuan menentang UAE awal bulan ini, Dollah berkata prestasi pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu, semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan.

“Walaupun De Paula tak ‘perform’ semasa dua perlawanan awal, saya nampak ada banyak peningkatan pada aksi terakhir. Menentang UAE dia banyak berdiri tercegat dalam perlawanan, lawan Vietnam ada nampak sedikit pergerakan dibuat, dan penglibatan dia dalam permainan lebih dilihat semasa lawan Thailand.

“Kalau dia (De Paula) tidak mempunyai semangat negara, tengok cara dia meraikan jaringan penalti lawan Vietnam, itu disebabkan dia nak tunjukkan semangat yang dia ada,” jelas Dollah.

Selain De Paula, dua lagi pemain naturalisasi negara yang dikritik keras adalah Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Malaysia menamatkan saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G, selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi semalam.

Kedudukan itu membolehkan Malaysia melangkah secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7