Hak kebebasan bersuara sejagat dan sempadannya

 Hak kebebasan bersuara sejagat dan sempadannya
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

Di dalam ajaran Islam, setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang dia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.
Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberikan hak yang luas kepada kebebasan ini.

Voltaire mengisytiharkan bahawa: ”Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara.”

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan bahawa: ”Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini.”

Sejak itu, semua yang terlibat dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka.

Ini termasuklah memberikan idea dan pandangan mengenai segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.
Medan terbaharu yang dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang telah dipergunakan dengan seluas-luasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan-bahan lucah dan tidak bermoral.

Laman baharu ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke seluruh dunia tanpa sempadan ini.
Di kalangan masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di dalam negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanisfestasikan kebebasan ini.

Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan oleh penulisan dan komen serta sokongan terhadap perbuatan sumbang yang terang-terang bertentangan dengan ajaran agama kita. Tetapi masyarakat kita di negara ini nampaknya lebih rasional dan berhikmah dalam menghadapi tindakan liar seperti ini. Jadi, tidaklah timbul sebarang perbuatan ganas atau berdemonstrasi membantah hal itu yang lebih berbentuk emosi, provokasi dan sebagainya.

Kita juga pada waktu yang terakhir ini dapat melihat banyak sekali lahirnya portal berat sebelah yang menentang segala agensi, institusi, dan establishments semasa, laman-laman web dan ratusan blog di dalam Internet, buku-buku yang tertentu, risalah, lukisan kartun dan karakter serta komen-komen dalam portal media baharu, yang dikeluarkan untuk tujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka yang mempersenda-sendakan nilai-nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa A.S iaitu tentang kehidupan seks Baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dulu.

Oleh itu, kita di negara ini merasa amat tersinggung dengan tuntutan-tuntutan kebebasan manusia yang melampaui batasan budaya, tatasusila dan ajaran agama sendiri yang cuba diketengahkan di dalam media sosial kini.

Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, maka semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Oleh itu, pihak kerajaan di samping usaha-usaha yang telah dilakukan selama ini, perlulah melihat dan mengkaji beberapa perkara terkini yang dibangkitkan di dalam masyarakat kita yang lebih bersifat polarisasi, rasial, fanatik dan sekularis. Tambahan pula sebagai negara yang mempunyai Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara yang mengakui kedudukan agama, maka segala sesuatu yang bercanggah dengan hal ini yang dikemukakan di atas dasar hak asasi manusia haruslah ditolak dan ditentang dengan bersungguh-sungguh.

 

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantap Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −  75  =