• Friday, 18 June 2021, 2:10 am

Guru tuisyen didakwa sebar berita palsu

 Guru tuisyen didakwa sebar berita palsu

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 2 Jun — Seorang guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan pandemik COVID-19.

Tertuduh, Mohd. Nazaruddin Yusoff, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Tertuduh merupakan antara dua individu pertama di negara ini didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021.

Berdasarkan kertas pertuduhan, guru berkenaan didakwa menggunakan laman sosial Facebook dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dan mengadakan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dengan memuat naik sekeping gambar yang menggunakan profil ‘Mohd. Nazaruddin Yusoff’.

Dalam hantaran berita berkenaan, gambar itu memaparkan seorang anggota polis terbaring dengan beberapa anggota polis memberi bantuan dengan kapsyen ‘Mati lagi…di Pontian, vaksin kedua’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.50 pagi pada 21 April 2021 di Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika kesalahan itu berterusan tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan tersebut berterusan selepas sabitan.

Mahkamah menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *