• Monday, 21 June 2021, 3:09 am

Guru OKU didik 10,000 murid, raih anugerah berganda 

 Guru OKU didik 10,000 murid, raih anugerah berganda 

Cikgu Mohd Huzaire Ahmad mengajar murid bermain alat muzik

Oleh Mohd Fikri Mie

BENTONG, 30 Mei – Segala kata dan ungkapan negatif yang diterima disebabkan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi pembakar semangat lelaki ini untuk melakar kejayaan dalam bidang perguruan.

Tanpa mempedulikan pandangan terhadapnya, guru muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, di sini, Mohd Huzaire Ahmad, 45, membuktikan kepada dunia bahawa kekurangan bukan halangan untuk beliau melakar kejayaan.

Anak jati Pahang itu membuktikan beliau mampu berkhidmat dengan cemerlang apabila meraih tujuh anugerah dalam tempoh 20 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik walaupun bergerak menggunakan kerusi roda.

Berkat kesabaran beliau meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya anugerah perkhidmatan cemerlang.

Penghargaan lain diterima ialah Anugerah Khas Hari Guru 2005; Anugerah Guru Inovatif 2007; Anugerah Khidmat Cemerlang Pendidikan 2008 dan 2018; Anugerah Cenderawasih Pahang 2009; Anugerah Guru OKU Cemerlang 2010 serta anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis 2015.

Mengimbau insiden silam, katanya, kecacatan kekal selepas terjatuh dari pokok rambutan setinggi 2 meter menyebabkan Huzaire lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

“Pada waktu itu saya hampir hilang semangat. Namun saya diberikan peluang oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyambung semula pengajian di Maktab Perguruan Persekutuan di Pulau Pinang yang tertangguh beberapa bulan disebabkan saya lumpuh.

“Saya masih ingat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika itu datang ke rumah saya bagi memberi kata semangat dan mengarahkan saya supaya meneruskan pengajian seterusnya bergelar seorang guru.

“Alhamdulillah bertitik-tolak dari situ saya bangkit mengejar cita-cita. Hari ini saya berjaya buktikan insan OKU mampu bergelar guru,” katanya.

Cikgu Mohd Huzaire Ahmad mengajar muridnya pada sesi kelas muzik

Beliau berkata, banyak cabaran dilalui di peringkat awal bergelar guru. Tanpa kemahiran berkerusi roda beliau diperkecilkan rakan setugas. Tekanan berganda itu menjadi motovasi untuk lebih kuat dan bersemangat.

Menurutnya, sebagai insan istimewa terlalu banyak cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi yang menguji kesabaran, di sebalik kepayahan bergerak menggunakan kerusi roda tugas mendidik anak bangsa tetap dilakukan sebaiknya.

“Saya tetap berbangga dapat mendidik lebih 10,000 murid sepanjang perkhidmatan setakat ini. Yang penting anak didik saya mampu menjadi insan berguna pada masa akan datang, itu sudah cukup membanggkan saya.

“Saya berbangga apabila bekas murid berjaya terutama dalam bidang seni, antara lain Mohd Aniq Ruzaimi yang kini bergelar artis,” katanya.

Sokongan isteri, Siti Nor Azizah Mohd Noor Yusoff, keluarga dan rakan setugas menambah kesungguhan saya melaksana tugas diamanahkan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *