• Thursday, 17 June 2021, 1:05 pm

Guru mengaku tak bersalah terima deposit haram

 Guru mengaku tak bersalah terima deposit haram

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 27 Mei -Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 12 pertuduhan menerima deposit haram berjumlah RM284,200 kira-kira tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hairul Nizam Wahab, 39, yang mengajar mata pelajaran sains di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hairul Nizam didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah sekolah dan premis di Pasir Gudang antara Mei dan November 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 4 Februari tahun lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima 12 laporan daripada 12 guru yang didakwa ditipu rakan sekerja mereka berkaitan skim pelaburan emas.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 20 Jun depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM48,000.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Fahmi Adilah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *