• Sunday, 20 June 2021, 3:09 pm

Guru-guru sudah kuasai PdPR – Gabungan MGB Malaysia

 Guru-guru sudah kuasai PdPR – Gabungan MGB Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Secara purata guru-guru di seluruh negara telah berjaya menguasai serta melaksanakan inisiatif Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian, kata Gabungan Majlis Guru Besar (MGB) Malaysia.

Naib Yang Dipertua MGB Malaysia , Abd Rahman Ibas

Naib Yang Dipertuanya, Abd Rahman Ibas berkata, penguasaan dan keupayaan mereka dalam PdPR itu dibuktikan dengan ramainya guru yang menghasilkan serta berkongsi video pembelajaran di platform Youtube sekarang.

Beliau berkata, guru tersebut mewujudkan saluran sendiri di Youtube sekali gus memberi peluang kepadanya menjana pendapatan melalui ciri pengiklanan yang ditawarkan Youtube. Oleh itu, ia berfungsi sebagai penggalak kepada guru untuk menghasikan video pengajaran dan pembelajaran (PDP) yang santai, kreatif dan berkesan.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Teknologi bertindak sebagai pembantu meningkatkan subscibers di samping memberi bimbingan kepada guru bagi menghasilkan video yang lebih kreatif lagi.

Selain itu, Cikgootube adalah perkongsian koleksi video yang dihasilkan oleh guru melalui usaha yang kreatif.

Abd Rahman berkata, Cikgootube dilancarkan oleh KPM pada 12 Disember 2019. Video PDP yang dihasilkan oleh guru tersebut menjadi hak miliknya. Ia menggunakan platform Youtube yang percuma dan memiliki penonton yang meluas serta mudah dicapai.

Katanya, guru yang menjadi Youtuber digalakkan menyertai Team #CikgooTUBE. Dengan itu hasil video mereka bakal ditayangkan di Eduwebtv dan TV Pendidikan.

Terdahulu, beliau menjelaskan, ada tiga kaedah PdPR yang digariskan oleh KPM iaitu dalam talian (on-line), luar talian (off-line) dan off-site.

“Lazimnya guru-guru akan memilih gabungan kaedah dalam talian dan luar talian,” kata Abd Rahman kepada Wacana.my.

Beliau berkata, pembelajaran diri sendiri (self learning) di kalangan guru juga mencukupi untuk mencapai standard PdPR dan mereka telah berjaya mewujudkan komuniti PLC (Professional Learning Community) sendiri di mana bahan-bahan seperti video dikongsi sesama mereka.

“Terdapat banyak Webinar berfungsi membantu guru-guru menghasilkan video pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, kreatif dan berinovasi. Video tersebut banyak dikongsikan di Youtube,” katanya.

Abd Rahman bagaimanapun berkata, kesulitan yang dihadapi pelajar bagi PdPR dalam talian ialah kekurangan peranti dan capaian internet yang lemah malah di sesetengah tempat yang tiada capaian.

“Kesulitan ini diatasi dengan kaedah luar talian. Kaedah talian ini termasuk serahan bahan kepada pelajar,” katanya.

Abd Rahman yang juga Yang Dipertua MGB Johor berkata, KPM telah mengambil maklum mengenai kekurangan tersebut dan telah mengambil tindakan yang positif seperti mewujudkan TV Pendidikan dan lain-lain.

“Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan NGO juga ada membantu sekolah dengan memberi sumbangan sejumlah peranti kepada pelajar,” katanya.

Mengenai perkembangan yang sama, beliau berkata, KPM telah menyediakan platform maya (digital learning) iaitu MOE-DL yang boleh diakses melalui www.moe-dl.edu.my di mana setiap guru dan pelajar telah dibekalkan akaun masing-masing.

Platform itu menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PDP, buku teks digital, Edpuzzle, Quizizz, Kahoot serta video PDP (EduwebTV dan CikgooTube).

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *