Gunakan levi untuk tampung kos saringan pekerja

 Gunakan levi untuk tampung kos saringan pekerja

PUCHONG 25 JUN 2021. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. WMY/SUPIAN AHMAD

PUCHONG, 25 Jun — Kementerian Sumber Manusia hari ini mencadangkan agar penggunaan levi pekerja asing disalurkan kembali kepada majikan, bagi membolehkan ujian saringan di tempat kerja secara lebih kerap.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata cadangan itu dibuat bagi menampung kos majikan selain menggalakkan mereka untuk menjalankan saringan secara lebih kerap.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. WMY/SUPIAN AHMAD

Menurutnya, perkara itu sudah pun dicadangkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Saya sudah cadangkan perkara ini kepada Kementerian Kewangan (untuk gunakan levi). Tunggulah keputusan menteri kewangan,” katanya kepada media selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di kilang di sini, hari ini.

Katanya, operasi berkenaan adalah bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, selain daripada menjalankan operasi penguatkuasaan agar majikan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pekerja di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. bersiap sedia untuk memulakan tugas masing-masing. WMY/SUPIAN AHMAD

Setakat ini, kluster tempat kerja, terutamanya di kilang, merupakan antara kluster terbanyak direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Saravanan berkata, pihak berkuasa akan bertindak tegas dengan menutup kilang berkenaan jika pengusaha masih berdegil.

Tambah beliau, pengusaha kilang tidak wajar mengambil kesempatan dengan memalsukan dokumen untuk memperoleh kelulusan beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh.

“Walaupun bukan tergolong dalam kategori perkhidmatan penting, mereka memalsukan dokumen dan memberikan maklumat palsu semata-mata untuk mendapatkan kelulusan.

“Tidak mematuhi SOP adalah antara sebab berlakunya kenaikan kluster di tempat kerja. Jika ia berterusan, kerajaan tiada pilihan lain selain mengarahkan penutupan semula operasi. Jangan paksa kerajaan ke arah itu.

“Kerajaan sedar sektor ekonomi amat penting atas dasar kelangsungan hidup walaupun PKP (perintah kawalan pergerakan). Pertama kita tak benarkan semua sektor beroperasi, tetapi selepas mengambil kira semua faktor ekonomi kita beri kelonggaran kali ini,” katanya.

Saravanan berkata, selain tidak mematuhi SOP, ada majikan yang tidak mematuhi had jumlah bekerja yang dibenarkan.

Tambahnya, usaha mengekang penularan wabak pandemik ini bukan tugas kerajaan sepenuhnya malah semua pihak.

“Walaupun MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) memberi kelonggaran atau kelulusan beroperasi dengan had atau jumlah pekerja dari 35 hingga 40 peratus, namun masih ada syarikat yang mengambil kesempatan dan tidak mengikuti arahan.

“Ada juga syarikat yang ‘suka-suka’ mengehadkan jumlah pekerja sampai 60 hingga 80 peratus. Ini adalah satu kesalahan berat dan kami beri amaran kepada pihak industri supaya patuh segala kebenaran dan kelulusan diberikan MITI dan KKM,” katanya.

Saravanan berkata, sehingga hari ini sebanyak 1,175 tempat kerja telah dipantau.

Sejak 1 Jun sehingga semalam, beliau berkata, sebanyak RM1.2 juta kompaun dikenakan membabitkan 123 majikan dan 12 individu.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =