Guna motosikal roda tiga hantar adik istimewa

 Guna motosikal roda tiga hantar adik istimewa

Noraishikin Alias menghantar adik, Mohd Shahril ke kelas al-Quran dan fardu ain di Taman LKNP.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 16 Mei – Pengorbanan dan kasih seorang kakak tidak tiada penghujungnya, bagi memastikan adiknya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) mampu menguasai kemahiran dan melakukan sesuatu untuk berdikari.

Ini dilakukan tanpa jemu apatah lagi dengan keluh kesah apabila sejak enam tahun lalu, Noraishikin Alias, 47, menggalas tugas arwah bapa untuk menguruskan adiknya, Mohd Shahril, 36, termasuk menghantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Teruntum di sini menggunakan motosikal roda tiga.

Mohd Shahril mengikuti latihan jahitan di PDK berkenaan dan Noraishikin menghantar adiknya itu ke pusat berkenaan pada 8 pagi, tiga kali seminggu.

Noraishikin menggalas tugas itu selepas bapa mereka, Alias Awang meninggal dunia pada 2014.

“Adik (Mohd Shahril) cacat fizikal dan pertuturan sejak lahir. Dia perlu menaiki motosikal roda tiga bersama kerusi roda. Rutin harian saya bermula 8 pagi dan pulang 1 tengah hari,” katanya.

Noraishikin yang menetap di Bukit Setongkol berkata, setiap Isnin dan Selasa pula akan menghantar Mohd Shahril ke kelas mengaji al-Quran dan fardu ain di Taman Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Bukit Setongkol.

Noraishikin menunggang motosikal roda tiga menghantar Mohd Shahril ke Pusat PDK Teruntum.

“Pengorbanan membantu insan istimewa bukan saja tanggungjawab saya tetapi ia amalan yang memberi pahala besar di akhirat nanti,” kata ibu kepada dua anak itu.

Noraishikin yang bertugas sebagai penyelia di PDK Teruntum berkata, jika beliau tidak dapat menghantar Mohd Shahril kerana tugas dan urusan keluarga, adiknya, Mohd Shafie, akan melakukan tugas itu.

Katanya, suaminya, Razmi Bachik, 46, dan ahli keluarga sentiasa memberi sokongan kepadanya menjalankan tanggungjawab itu.

“Saya tidak pernah merasa malu dan penat menunggang motosikal roda tiga melalui beberapa jalan utama di tengah bandar Kuantan sambil membawa adik yang sudah selesa dengan keadaan sekeliling.

“Pengguna jalan raya pasti akan menoleh saya dan adik menaiki motosikal roda tiga, saya tidak pasti apa yang bermain difikiran mereka ketika melihat kami,” katanya yang tidak pasti sampai bila mengalas tugas murni berkenaan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  86  =  91