Guna lesen orang lain melatih pasukan

 Guna lesen orang lain melatih pasukan

KUANTAN, 3 Januari 2022 – Kelab bola sepak didakwa menggajikan individu tanpa tauliah untuk melatih pasukan mereka.

Modus operandinya, di atas kertas mereka menamakan jurulatih berlesen tetapi individu itu tidak perlu hadir melatih pasukan berkenaan.

Jurulatih berlesen berkenaan dipercayai bersubahat akur Dan menerima habuan tertentu oleh kelab bola sepak terbabit.

Episod lakonan di padang bola sepak tempatan sudah lama berlaku namun ia disorokkan dari pengetahuan ramai.

Perkara ini didedahkan oleh bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang mendakwa nama jurulatih bertauliah kini seolah boleh dijual beli oleh pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), iaitu pasukan belia atau liga bawahan (M3) sejak beberapa musim lalu.

Menurutnya, pasukan kelab hanya menggunakan nama mereka sebagai memenuhi syarat, bagaimanapun tugas sebenar melatih pasukan diberi kepada orang lain yang menjadi pilihan pasukan itu.

Katanya, perkara ini berlaku disebabkan pengurusan kelab tetapkan hajat mahu perkhidmatan individu itu walaupun menyedari dia tidak ada lesen.

“Saya dapati perkara ini sudah lama berlaku dalam kancah bola sepak tanah air yang kini bertaraf profesional, persoalannya adakah pihak peneraju bola sepak negara tidak mengetahui atau buat-buat tak tahu.

“Sekiranya perkara ini terus berlarutan tanpa sebarang tindakan, nasib jurulatih bertauliah yang lain akan dipinggirkan terus di padang bola sepak negara,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kemerosotan pasukan bola sepak negara di peringkat antarabangsa turut berlaku disebabkan episod jurulatih tidak memiliki lesen kejurulatihan.

Jamal menambah, jurulatih bertauliah lebih mahir dalam menurunkan ilmu dan pengalaman untuk membentuk pasukan lebih baik.

“Kemahiran yang dimiliki jurulatih bertauliah tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan corak permainan bola sepak yang sebenar.

“Kesannya boleh kita lihat hari ini apabila pasukan bola sepak negara gagal menyerlah di pentas antarabangsa, skuad Harimau Malaya yang diharap menyerlah kecundang akhirnya,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan episod jurulatih tanpa lesen melatih pasukan dalam Liga M, pihak yang terbabit perlu segera membendung gejala berkenaan supaya tidak terus berlarutan.

Tambahnya lagi, jurulatih yang mempunyai lesen jurulatih pula jangan terlalu kejarkan imbuhan setiap bulan hingga sanggup mengadai maruah dan dianggap penyumbang kepada kemerosotan pasukan bola sepak negara.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  +    =  54