Guna bot pelancong bawa rokok seludup

 Guna bot pelancong bawa rokok seludup

Ayob melihat sebuah bot pelancongan yang dirampas dalam satu serbuan mematahkan pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta di sebuah jeti di Endau, Mersing, hari ini.

MERSING, 14 Jun — Taktik satu sindiket antarabangsa menggunakan bot pelancong untuk membawa masuk rokok seludup dari Vietnam dan Indonesia terbongkar apabila diserbu di sebuah jeti di Endau, di sini baru-baru ini.

Serbuan dilakukan dari jam 6.30 petang hingga 10 malam itu melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing dan PPM Wilayah 2 Tampoi dibantu Balai Polis Endau.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 51 tahun dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dalam operasi pada 11 Jun lalu.

“Polis merampas dua lori; sebuah bot persiaran atau bot pelancongan, 380 kotak rokok jenama Band Hold dan 523 kotak rokok jenama Vstar.

“Kita turut merampas satu unit Global Positioning System (GPS), satu unit radar jenis Furono Fish Finder FCB-527 dan satu radar jenis Lawrance HDS 7.

“Jumlah rampasan rokok RM7.6 juta manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM9.3 juta,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan bot pelancongan untuk mengaburi aktiviti penyeludupan tersebut.

Bot pelancongan itu digunakan untuk mengambil rokok dari sebuah kapal besar yang berada di perairan antarabangsa sebelum membawanya masuk ke perairan negara ini lalu diedarkan dengan menggunakan jalan darat.

Kapal berkenaan membawa rokok itu dari Vietnam sebelum ke Batam, Indonesia dan menunggu bot-bot penyeludup di perairan antarabangsa mengambil rokok suludup berkenaan.

“Siasatan mendapati pemilik bot pelancongan itu terlibat dalam aktiviti penyeludupan selepas tiada lagi aktiviti pelancongan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Pemiliknya mengubah suai bahagian dalam bot bagi memudahkan aktiviti itu dan sudah tiga atau empat kali melakukannya. Rokok-rokok itu kemudian dipunggah ke dalam lori untuk dibawa ke pantai timur dan naik ke Pahang, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya.

Jelas beliau, selepas memunggahkan ke bahagian belakang lori mereka menutupnya dengan air mineral bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Semua suspek yang direman pada Sabtu dan Ahad disambung semula reman selama selama tiga hari mulai hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1957 dan jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara enam hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  1