Guna 160 ular getah halau kera

 Guna 160 ular getah halau kera

Penanam keladi hiasan, Mohd Hasraf Abd Razak menggunakan 160 ular getah bagi menakutkan kumpulan kera yang menceroboh petak tanaman induk keladi yang diusahakan.

KUANTAN, 3 Disember 2021 – Sebanyak 160 ular getah digunakan bagi menakutkan kumpulan kera yang bertindak menceroboh dan memusnahkan pelbagai spesies pokok keladi harga kayangan di Kampung Baru Seri Pandan, di sini.


Menurut Mohd Hasraf Abd Razak, 28, dia menggunakan ular getah sejak sebulan lalu dan usaha berkenaan kini dianggap berjaya bagi menghalang kumpulan kera menceroboh petak tanaman induk keladi yang diusahakan.


Katanya, sebelum ini dia terpaksa mengawal dengan cara menunggu kawasan berkenaan bagi mengelak kumpulan kera antara 15 hingga 30 ekor yang menjadikan hutan kecil berhampiran sebagai habitat semulajadi.

Ular getah diletakkan secara berselerak dalam kawasan petak tanaman induk keladi yang diusahakan.


“Saya membelanjakan RM150 bagi membeli ular getah pelbagai warna bagi menakutkan kumpulan kera yang sebelum ini hampir setiap hari menceroboh petak tanaman induk pelbagai spesies keladi berharga antara RM400 hingga RM4,000.


“Kumpulan kera menceroboh hanya untuk memusnahkan pokok keladi dengan cara mencabut dan mematahkan pokok, haiwan berkenaan tidak makan pokok keladi,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, dia menanggung besar sebelum ini setiap kali kumpulan kera menceroboh dan memusnahkan induk pokok keladi, haiwan terbabit turut cuba menyerang apabila dihalau.


Mohd Hasraf berkata, dia kini mempunyai lebih 40 spesies pokok keladi import dan tempatan yang dijual dengan harga antara RM380 hingga RM12,000 sepokok.

Ular getah diletakkan secara berselerak dalam kawasan petak tanaman induk keladi yang diusahakan.


“Selepas lebih sebulan menggunakan ular getah yang diletakkan secara berselerak dalam kawasan petak tanaman induk keladi, hasilnya amat memuaskan apabila kumpulan kera tidak lagi datang meceroboh.


“Namun saya percaya kaedah yang digunakan ini tidak akan bertahan lama, sampai satu masa haiwan terbabit akan mengetahui ular berkenaan adalah ular getah.


“Kemungkinan selepas ini saya akan gunakan pagar elektrik solar yang banyak terdapat dipasaran, kaedah berkenaan dipercayai berkesan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  87  =  97