Gubal akta lompat parti perlu sokongan majoriti dua pertiga

 Gubal akta lompat parti perlu sokongan majoriti dua pertiga

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen diperlukan jika akta lompat parti mahu diwujudkan bagi menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib, berkata ini kerana penggubalan akta itu memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Katanya, Pejabat Peguam Negara perlu membuktikan impak lompat parti ini menggugat keselamatan, sekali gus istilah kebebasan bergerak, berpersatuan dan memilih harus diberi tafsiran baharu.

“Di Mahkamah Eropah, istilah kebebasan bersuara diberi interpretasi baharu iaitu bebas bersuara selagi yang disuarakan itu tidak menghasut, menghina, mencaci, menyatakan suatu yang lucah terhadap agama, budaya, kepercayaan.

“Ia merujuk kepada kes wanita Austria yang menghina Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika mengulas mengenai rang undang-undang anti-lompat parti dalam usaha menyekat perlakuan itu membabitkan wakil rakyat.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang baharu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan antara fokus beliau adalah memperkenalkan akta anti-lompat parti, transformasi Parlimen, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkara itu juga antara Persetujuan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) yang pernah dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi melaksanakan kerjasama rentas parti.

Mengulas Pilihan Raya Semula atau ‘recall election’, beliau berkata, perkara itu hanya berlaku jika jelas wujud hilang kepercayaan kepada wakil rakyat yang didapati gagal mengurus atau terbabit rasuah.

“Contohnya di Amerika Syarikat (AS), Gabenor California, Gavin Newsom yang mendapat beberapa petisyen untuk Pilihan Raya Semula kerana beliau didapati gagal menyelesaikan masalah pengangguran, gelandangan, cukai tinggi, taraf kehidupan yang rendah, tidak berjaya mengurus kemasukan migran asing dan sebagainya.

“Recall election’ digunakan untuk wakil rakyat yang menang dan sudah menjalankan tugas tetapi gagal berkhidmat dengan baik, jadi pengundi boleh buat petisyen untuk Pilihan Raya Semula,” katanya

Beliau berkata, jika Pilihan Raya Semula mahu diadakan di Malaysia, ia perlu dikaji dengan teliti kerana konteks dan perundangannya berbeza dengan apa yang diamalkan di AS.

“Malaysia tiada peraturan dan undang-undang yang menghalang kebebasan untuk memilih. Perkara ini yang harus diselesaikan dulu sebelum boleh buat Pilihan Raya Semula.

“Dikhuatiri jika kita melaksanakan ‘recall election’, ia akan dicabar di mahkamah, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang kebebasan memilih dan berpersatuan, jadi tindakan ini akan dianggap melanggar undang-undang,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −    =  45